Utusan Borneo (Sabah)

Filem Korea ‘The Fortress’ lakonan Lee Byung-hun tembusi pasaran 28 negara

-

FILEM yang mengangkat tema sejarah Korea Selatan ‘The Fortress’ telah berjaya dijual kepada 28 negara di seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Jepun dan Singapura, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan pengedar tempatan filem itu pada Selasa.

Filem itu, yang dibintangi oleh Lee Byung-hun, Kim Yoon-seok dan Park Hae-il, berkisar tentang tempoh 47 hari yang dihabiskan oleh Raja Injo dari Dinasti Joseon (1392-1910) bersama para pegawai baginda di Kubu Gunung Namhan di selatan pinggir Seoul, ketika melarikan diri daripada penceroboh­an Dinasti Qing dari China pada musim sejuk tahun 1636.

Filem arahan Hwang Dong-hyuk itu diadaptasi daripada novel terlaris Kim Hoon dengan tajuk Korea yang sama.

Susulan kejayaan penampilan sulungnya di beberapa lokasi yang dimiliki rangkaian pawagam CGV Korea di Los Angeles dan Buena Park, California, pada 6 Oktober, ‘The Fortress’ menerima lebih banyak tempahan untuk tayangan di 27 panggung di seluruh negara pada Jumaat.

Ia dijadual mula ditayangka­n di Taiwan pada November manakala Jepun pada Jun tahun depan.

Ia merupakan filem pembukaan di Festival Filem Asia Timur London Kedua, yang bermula pada Khamis serta bakal berlangsun­g selama 11 hari, dan telah dipertonto­nkan di pelbagai festival filem Korea dan Asia lain yang turut diadakan pada bulan sama.

Di Korea Selatan, jumlah tiket bagi filem itu yang terjual ialah 3.78 juta keping. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia