Utusan Borneo (Sabah)

Federer mara mudah ke suku akhir Tenis Basel

-

BASEL: Roger Federer (gambar) mara ke peringkat suku akhir kejohanan tenis di Basel buat kali ke-15 kelmarin selepas dia menewaskan pemain Perancis Benoit Paire 6-1, 6-3 apabila pemain pilihan utama itu memperting­katkan kempennya bagi kejuaraan Tertutup Swiss kelapan.

Federer menewaskan Paire buat kali kelima tanpa sebarang kekalahan, dengan menumpaska­n pencabar itu dalam masa 57 minit di hadapan penonton yang bersimpati di St Jakobshall­e.

Federer, 36, yang memenangi acara terakhirny­a di Shanghai pada bulan ini, memburu piala ketujuh yang mengetuai ATP pada musim ini apabila dia menyasari final pada hujung minggu ini di bandar asalnya.

“Saya gembira dengan perkembang­annya, saya sentiasa bersedia untuk perlawanan yang lebih sukar,” kata Federer. “Saya bermula dengan baik, dan bermain dengan lancar.

“Saya dapat memberi tekanan yang lebih ke atasnya berbanding dia ke atas saya. Saya bermain baik dalam dua pusingan pertama. Saya sangka undian itu kelihatan sukar dengan (Francis) Tiafoe dan Paire dalam kumpulan saya. Saya sedikit terkejut, sejujurnya.

“Ia tidak mudah untuk menang 1 dan 3 dalam gelanggang tertutup, ini adalah permulaan yang hebat.”

Federer menggegark­an set pembukaan dan mengenakan lebih tekanan dalam set kedua selepas Paire menerima rawatan urutan pada belakangny­a selepas dia tewas dalam set pembukaan.

Federer, pemain nombor dua dunia, terus mendominas­i apabila dia merampas break dari Pairs untuk menyamakan kedudukan dalam permainan ketujuh, dan pemain Perancis itu membuat ‘double fault’ kedua untuk melepaskan permainan.

Federer menjadikan kedudukan 5-3 yang selesa, dan Paire membuat pukulan balas yang tersasar.

Juara Swiss Grand Slam sebanyak 19 kali itu memperoleh­i mata akhir dalam permainan seterusnya, yang diselamatk­an oleh penentangn­ya dengan servis kemenangan.

Namun Federer enggan memberi ruang, pukulannya memperoleh­i mata akhir kedua diikuti pukulan depan yang tidak dapat disentuh untuk menamatkan perlawanan.

Federer seterusnya akan menentang pemain pilihan ketujuh dari Perancis, Adrian Mannarino, yang menewaskan pemain Kanada Denis Shapovalov 4-6, 6-1, 6-2.

Juara bertahan Marin Cilic menewaskan rakan senegara dari Croatia, Borna Coric 6-3, 3-6, 6-3 dalam perlawanan selama dua jam untuk mendahului 5-0 ke atas rakan senegara yang lebih muda itu.

Pemain pilihan keempat Juan Martin del Potro semakin hampir dengan tempat di ATP Finals pada bulan depan apabila dia menewaskan pemain layak dari Perancis, Julien Benneteau 6-4, 6-4.

Del Potro memenangi kejuaraan Basel pada 2012 dan 2013, dengan menewaskan Federer dalam kedua-dua perlawanan akhir tersebut.

“Saya letih, tetapi saya masih menang dan bermain tenis dengan baik,” kata Del Potro. “Ini terus mendorong saya untuk terus bermain. Saya ada peluang yang baik untuk pergi jauh di sini dan juga naik dalam ranking.”

Pemain Argentina itu menduduki tempat ke-14 dalam kedudukan Tour Finals dengan hanya dua minggu sahaja lagi berbaki dalam perlumbaan ke kejohanan penamat musim yang disertai lapan pemain itu di London.

Namun tanpa Andy Murray, Novak Djokovic dan Stan Wawrinka yang tidak bermain lagi pada musim ini kerana cedera, kedudukan pemain Amerika Selatan itu kelihatan semakin kuat.

Del Potro memulakan kejohanan Basel 470 mata di belakang Pablo Carreno Busta dalam tempat kelayakan terakhir, dengan 500 mata yang ditawarkan di Basel sebelum acara Masters 1000 terakhir bagi musim ini pada minggu depan di Paris.

Dia tidak membuang masa untuk menyingkir­kan Benneteau yang menduduki ranking ke-93, dengan melakukan 12 pukulan ace.

Pemain berusia 29 tahun itu menyelamat­kan mata break tunggal yang dia hadapi ketika merampas servis lawannya dua kali untuk mencatatka­n kemenangan ke-34 pada musim ini. - AFP

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia