Utusan Borneo (Sabah)

Periuk api bunuh tiga tentera pengaman PBB

-

BAMAKO: Tiga anggota tentera pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di utara Mali terbunuh kelmarin dan dua lagi tercedera ketika kenderaan mereka melanggar “periuk api atau bahan letupan buatan sendiri”, kata Misi PBB di Mali (MINUSMA).

Letupan berlaku sekitar jam 2.30 petang waktu tempatan ketika kenderaan itu sedang mengiringi “konvoi logistik” di utara Kidal, di lebuh raya di antara Tessalit dan Aguelhok, katanya dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa angka tersebut masih bersifat sementara.

“Selepas letupan, tiga tentera pengaman kehilangan nyawa mereka dan dua lagi tercedera, menurut satu angka sementara,” kata MINUSMA, sambil menambah mangsa yang terselamat telah dibawa ke Kidal.

Ketua misi sementara PBB Koen Davidse berkata beliau mengutuk keras “tindakan keji sebegini yang tujuan sebenarnya adalah untuk menjatuhka­n negara dan menjejaska­n proses damai yang sedang dilakukan di Mali.”

Beliau berkata MINUSMA masih bertegas untuk meneruskan usaha membawa kedamaian kepada negara dan memberi amaran bahawa serangan terhadap tentera pengaman boleh dinyatakan sebagai jenayah perang.

Serangan selepas satu kunjungan pada Ahad lepas oleh 15 duta Majlis Keselamata­n PBB bagi menyatakan sokongan untuk usaha membawa kedamaian ke Mali.

Tindakan memberi sokongan muncul selepas satu rayuan oleh Burkina Faso, Chad, Mali, Mauritania dan Niger bagi bantuan dalam pertempura­n mereka menentang keganasan pejuang jihad.

Lima negara itu telah meminta dana dan sokongan logistik bagi membolehka­n pelancaran operasi pertama bersama dari akhir bulan ini terhadap pejuang jihad. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia