Utusan Borneo (Sabah)

Hutang luar terkumpul susut kepada RM877.5 bilion

-

KUALA LUMPUR: Hutang luar terkumpul Malaysia berkurang kepada RM877.5 bilion atau 65.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir Jun 2017, daripada RM916.1 bilion atau 74.5 peratus yang dicatat pada akhir 2016.

“(Ini) berikutan penilaian semula hasil daripada pengukuhan ringgit berbanding mata wang utama dan serantau terpilih serta pembayaran balik bersih pinjaman antara bank pada suku kedua,” menurut Laporan Ekonomi 2017/2018 yang dikeluarka­n oleh Kementeria­n Kewangan.

Pinjaman luar pesisir Malaysia, yang merupakan komponen terbesar hutang luar, berkurang kepada RM520.6 bilion atau 38.7 peratus daripada KDNK berbanding RM531.3 bilion (43.2 peratus) pada 2016 selepas penilaian semula dan pinjaman antara bank yang lebih rendah.

Menurut laporan itu lagi, hutang jangka sederhana dan panjang, hutang sektor swasta berkurang kepada RM165.4 bilion susulan pinjaman bersih yang lebih rendah oleh bank dan bukan bank.

Sementara itu, sebagal peratusan kepada KDNK, pinjaman luar pesisir sektor awam kekal pada RM127.1 bilion (9.4 peratus) dengan syarikat awam sebagai penyumbang terbesar pada 8.1 peratus dan selebihnya adalah kerajaan persekutua­n.

Menurut laporan itu, hutang sektor awam pula mencatat RM901.2 bilion atau 73.3 peratus daripada KDNK pada akhir 2016 berbanding RM870 bilion (75.1 peratus) dengan hutang kerajaan Persekutua­n berjumlah RM648.5 bilion (72 peratus) daripada jumlah hutang sektor awam, berbanding RM630.5 bilion (72.5 peratus) akhir 2015. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia