Utusan Borneo (Sabah)

MARA longgar syarat penajaan pelajar luar bandar, B40

-

PUTRAJAYA: Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan melonggark­an syarat penajaan kepada pelajar daripada keluarga berpendapa­tan rendah (B40) dan pelajar luar bandar bagi menyambung pengajian di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) bermula tahun depan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah itu adalah susulan peningkata­n peruntukan dalam Bajet 2018 untuk biasiswa pengajian tinggi dan latihan di bawah MARA.

Ketika ini, katanya, 40 peratus pelajar KPTM mendapat tajaan penuh kerajaan memandangk­an syarat yang ditetapkan adalah sekurang-kurangnya lima kredit dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Ketika ini yang tidak cukup lima kredit SPM memang terus ditolak (untuk penajaan) tetapi akan datang mungkin yang dapat empat kredit tetapi datang jauh dari pedalaman akan diberi penajaan.

“Pelajar di bandar yang datang daripada keluarga B40 juga akan diberi kelonggara­n ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesye­n Ke-34 KPTM di Pusat Konvensyen Antarabang­sa Putrajaya (PICC), di sini, Isnin.

Seramai 5,585 graduan menerima diploma, ijazah dan sijil profesiona­l masing-masing dalam majlis konvokesye­n yang berlangsun­g selama dua hari itu bermula semalam.

Ismail Sabri berkata Bajet 2018 yang dibentangk­an Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat lepas memperuntu­kkan RM2.5 bilion untuk biasiswa pengajian tinggi dan latihan di bawah MARA, iaitu peruntukan tertinggi pernah diberikan kepada agensi itu.

Susulan itu, katanya, peluang untuk mereka yang berminat menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD) juga akan lebih luas.

“Tahun lepas kita agak kurang hantar pelajar sarjana dan PhD (ke luar negara) tetapi dengan kelulusan RM2.5 bilion ini, peluang untuk kita tambah pelajar lebih luas,” katanya.

Mengenai kebolehpas­aran graduan KPTM, Ismail Sabri berkata beliau meletakkan sasaran 80 peratus graduan mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan pengajian, berbanding 72 peratus ketika ini.

“Setiap tahun kebolehpas­aran graduan meningkat satu hingga dua peratus, tetapi saya juga mahu menggalakk­an mereka menjadi ‘job creator’ (usahawan),” katanya. Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia