Utusan Borneo (Sabah)

Kes empat anggota TLDM cederakan rakan disebut semula 12 Dis

-

LUMUT: Mahkamah Majistret Seri Manjung di sini, Isnin menetapkan 12 Dis depan sebagai tarikh sebutan semula kes empat anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang menghadapi pertuduhan mencederak­an rakan sekerja, bulan lalu.

Majistret Nur Shaqira Ibrahim menetapkan tarikh tersebut sementara menunggu laporan perubatan mangsa dan beberapa dokumen lain.

Empat tertuduh ialah Mohd Izhrifikri Roslee,29; Hamzah Zakaria @ Ali,35; Mohd Farid Musa,32; dan Saifulniza­m Razaly,37, masing-masing merupakan Laskar Kanan TLDM menghadapi pertuduhan berasingan.

Mohd Izhrifikri didakwa atas enam pertuduhan mencederak­an Mohd Farhan Md Said,30, dan Mohd Syaiful Nizam Mardzuki,30 dengan memukul tapak kaki mereka di bilik tahanan TLDM unit Sungai Wangi, Sitiawan di sini, pada 12 Sept hingga 23 Sept lepas.

Dia juga didakwa melakukan dua ugutan jenayah terhadap Mohd Farhan dan Mohd Syaiful Nizam dengan mengatakan akan membelasah mereka sehingga mati dan anggota keluarga akan diancam jika memberikan kenyataan kepada polis di bilik tahanan sama antara 2 petang hingga 3 petang pada 29 Sept lepas.

Sementara itu, Hamzah dan Saifulniza­m masing-masing didakwa dengan sengaja menyebabka­n kecederaan ke atas Mohd Farhan.

Mereka didakwa secara berasingan melakukan perbuatan itu di Padang Kawad Bilik Tahanan antara pukul 10 pagi hingga 12.30 tengah hari, 13 Sept lepas.

Mohd Farid pula didakwa mencederak­an Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, di Pejabat Pengawal di bilik sama pada 12.30 malam 28 Sept lepas.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Hashim, manakala Mohd Izhrifikri diwakili peguam Mohamad Farhan Ahmad Fadzil; Mohd Farid oleh peguam S. Dharmanath­an, Hamzah oleh peguam Saranjit Singh manakala Saifulniza­m tidak diwakili peguam.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia