Utusan Borneo (Sabah)

Hukuman buang daerah masih relevan: Nur Jazlan

-

KUALA LUMPUR: Hukuman buang daerah yang dikenakan ke atas penjenayah masih relevan untuk dikekalkan, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau berkata kerajaan akan terus mengkaji untuk menambah baik pengisian program untuk individu yang dibuang daerah agar terus relevan dengan perkembang­an semasa.

“Elemen buang daerah bukanlah sesuatu yang asing dalam undang-undang yang berbentuk pencegahan, individu-individu yang dibuang daerah ini atau dalam istilah sebenarnya dalam pengawasan polis bukanlah diabaikan pihak kerajaan.

“Orang-orang yang diletakkan di bawah pengawasan polis ini dipantau oleh ketua polis balai dan dibantu untuk mendapatka­n pekerjaan mengikut kesesuaian kemahiran dimiliki mereka,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab soalan Datuk William @ Nyallau Badak (BN-Lubok Antu) yang ingin tahu sama ada kerajaan akan mengkaji semula program membantera­s jenayah menerusi hukuman buang daerah yang menurutnya tidak berkesan dalam memberi pengajaran kepada penjenayah yang terlibat.

Nur Jazlan berkata individu yang dikenakan hukuman sekatan itu juga diberikan peluang untuk mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi membantu keluarga mereka sekiranya berkelayak­an.

Dalam pada itu, beliau berkata adalah tidak adil untuk meletakkan kesalahan kepada individu yang dibuang daerah atau disekat bagi peningkata­n kadar jenayah di sesuatu kawasan.

Katanya, individu yang dibuang daerah biasanya menjalani hukuman itu selama dua tahun dan akan mengikuti proses pemulihan sebelum dibenarkan pulang ke tempat asalnya selepas selesai proses itu.

Menjawab soalan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (BNBagan Serai) yang ingin tahu statistik terkini pemenjaraa­n wanita yang terlibat dengan dadah, Nur Jazlan berkata sehingga 9 Okt lepas, terdapat sebanyak 1,703 orang wanita dipenjarak­an berkaitan kesalahan itu dengan 931 telah disabitkan, manakala 772 masih dalam reman. Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia