Utusan Borneo (Sabah)

Pemandu mengaku bersalah merompak, acu pistol tiruan

-

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini Rabu atas dua pertuduhan iaitu merompak dan mengacukan pistol tiruan terhadap dua pekerja sebuah kedai serbaneka, bulan lepas.

Mohd Nuri Selajudin, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah merompak warga Bangladesh, Muhammad Soreat Ullah, 25, dan Ali Reza Raju, 20, dengan cuba melarikan wang di dalam kaunter kedai itu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan juga boleh dikenakan denda dan sebatan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah mengacukan satu pistol tiruan berwarna hitam jenis pistol angin (air pump gun) semasa melakukan rompakan terhadap kedua-dua mangsa yang sama dengan cara yang mungkin menyebabka­n ketakutan, mati atau cedera terhadap mangsa.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan juga boleh dikenakan tidak kurang tiga sebatan.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di kedai serbaneka di Jalan Hang Lekir, Dang Wangi di sini, pada 2.50 pagi, 26 Okt lepas.

Pendakwaan dikendalik­an Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Aris Kamalluddi­n manakala tertuduh diwakili peguam ML Hoe.

Hakim Rohatul Akmar menetapkan 6 Nov ini untuk pembentang­an fakta kes dan jatuh hukum.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia