Utusan Borneo (Sabah)

‘Datuk Seri’ disyaki pukul Rela dipercayai positif dadah

-

KUALA LUMPUR: Lelaki bergelar ‘Datuk Seri’ yang ditahan bagi siasatan kes memukul tiga anggota Jabatan Sukarelawa­n Malaysia (RELA) yang bertugas di sebuah tokong di Kampung Baru Ampang, Jumaat lalu dipercayai positif dadah.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata ini berdasarka­n keputusan ujian air kencing terkini yang dijalankan terhadap suspek.

“Ekoran hasil ujian itu maka kita akan bawa (kes) bawah Akta Dadah Berbahaya (1952) dan aspek lain yang melanggar undang- undang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Deepavali di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini pada Rabu.

Beliau berkata siasatan awal polis juga mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau bersabit pengambila­n dadah sebelum ini.

Ditanya mengenai gelaran ‘ Datuk Seri’ suspek, Noor Rashid berkata: “Beri ruang kepada polis untuk jalankan siasatan.”

Suspek kini ditahan reman empat hari selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya pada 4 petang Selasa.

Dalam kejadian Jumaat lepas, tiga anggota RELA iaitu Melvin Cheong Mun Khai, 19; Leong Jiun Jie, 21, dan Lee Weng Poh, 27, mengalami kecederaan yang didakwa mereka akibat dipukul dan ditendang oleh suspek yang berang selepas diminta mengalihka­n kenderaann­ya yang menganggu aliran lalu lintas.

Mengulas kes berbeza, Noor Rashid berkata pihaknya telah berhubung dengan polis Thailand bagi membantu siasatan kes seorang lelaki warga Malaysia berusia 19 tahun yang ditahan di negara berkenaan kerana dipercayai terbabit dalam ‘Macau Scam’.

“Kita ada banyak kes ‘Macau Scam’ yang kita ambil tindakan, ada yang lari ke luar negara. Kita siasat kalau mereka ini pernah jalankan operasi di Kuala Lumpur,” katanya.

Lelaki itu ditahan pihak berkuasa Thailand di Lapangan Terbang Suvarnabhu­mi, Bangkok pada Sabtu sejurus tiba dari Malaysia.

Penahanan itu susulan serbuan ke atas sebuah kondominiu­m sehari sebelumnya yang menyaksika­n polis Thailand menyelamat­kan seorang wanita warga Malaysia dan lima rakannya serta menahan seorang lelaki Taiwan berusia 29 tahun yang disyaki ketua sindiket tersebut. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia