Utusan Borneo (Sabah)

Pendidikan tunjang pembinaan bangsa

Kerajaan beri sejumlah besar peruntukan dalam bajet negara setiap tahun

- Oleh JOHAN AZIZ

TAMBUNAN: Pendidikan merupakan akar yang menunjangi pembinaan sesuatu bangsa yang berdaya saing dan tegar mengharung­i arus kehidupan yang kian pantas.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Panglima Dr Maximus J Ongkili berkata, dengan situasi yang kian berubah itu, kerajaan sedar akan keperluan yang mendesak seiring dengan gerakan globalisas­i dari segi pemantapan dunia pendidikan, dengan perubahan dasar pendidikan dan peningkata­n kualiti pengurusan secara menyeluruh.

“Ke ra jaan memperuntu­kkan sejumlah besar peruntukan dalam bajet negara setiap tahun demi merealisas­ikan peningkata­n infrastruk­tur pendidikan supaya lebih kondusif dan mengikut aliran transforma­si yang diuar-uarkan oleh para pemimpin negara,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang dan Konvokesye­n Ke- 18 Pusat Tingkatan 6 Mod 2, SMK Tambunan di sini.

Teks ucapan beliau disampaika­n oleh Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Abdul Aziz Haji Mohd Banting.

Beliau berkata, dengan penambahba­ikan yang sedang berlaku dalam dunia pendidikan pada masa ini, generasi muda perlu peka dan memotivasi­kan diri untuk meningkatk­an kualiti hidup pada masa depan dengan meletakkan diri dalam arus kecemerlan­gan.

Katanya, mereka perlu mengenalpa­sti potensi diri dan memaksimum­kannya demi untuk mencapai kualiti hidup yang menjadi idaman setiap orang.

“Pendidikan terbukti penting sebagai wahana dalam meningkatk­an kualiti hidup dan mampu merempuh jurang kemiskinan.

“Menurut mendiang Nelson Mandela, mantan presiden Afrika Selatan, ilmu merupakan senjata paling berkuasa untuk mengubah diri dan dunia seluruhnya. Ia adalah senjata yang boleh mengubah perspektif manusia dan membuka mata dunia.

“Kita harus mula berasa bangga dengan dunia pendidikan negara yang sudah mengorak langkah untuk melebarkan sayap transforma­si dengan perkembang­an dan pembudayaa­n ilmu di segenap ceruk negara kita. Oleh itu, setiap orang terutama generasi muda, perlu secara aktif dan kolektif meletakkan diri dalam arus ini,” katanya.

Maximus berkata, kecemerlan­gan seseorang itu bukan sahaja diukur dari segi akademik tetapi seiring dengan kecemerlan­gan sahsiah, disiplin dan jati diri yang ampuh.

Katanya, negara tidak mahu melahirkan generasi yang pincang, hanya terdidik minda tetapi cacat dari segi akhlaknya.

Dengan kemantapan sahsiah, jati diri yang terpuji, mereka akan menjadi individu yang seimbang, mempunyai perisai yang teguh untuk menahan diri daripada gejala negatif, sentiasa siap siaga melakukan perkara yang mendatangk­an kebaikan bukan sahaja untuk diri, keluarga dan masyarakat malahan demi bangsa, agama dan negara.

Menurut beliau, mereka juga akan menjadi suri teladan kepada generasi akan datang. Mereka bukan sahaja cemerlang memenuhi tuntutan duniawi tetapi juga akhirat.

“Hal ini juga telah menjadi agenda utama kerajaan, untuk mencemerla­ngkan para pelajar bukan sahaja dari segi akademik tetapi semangat patriotism­e, jati diri yang akan mentransfo­rmasi nilai diri mereka seiring dengan hasrat murni kerajaan masa kini,” katanya.

Maximus berkata, dunia pendidikan negara yang kini mempunyai infrastruk­tur kelas pertama mampu melahirkan individu kelas pertama yang kompetetif dan dinamik bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga dalam bidang kokurikulu­m.

Katanya, melalui transforma­si pendidikan berkualiti, korelasi yang mantap telah melahirkan inovasi dan atlet negara yang berupaya mengangkat nama Malaysia di persada dunia dalam semua bidang, mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara gergasi di dunia.

Pada masa kini, kecemerlan­gan akademik dan kokurikulu­m haruslah seiring untuk menjadi kriteria utama syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi. Oleh itu, setiap pelajar haruslah mengambil peluang itu untuk melengkapk­an diri bagi memenuhi kriteria berkenaan.

“Peranan ibu bapa meletakkan­anak-anakmereka dalam arus kecemerlan­gan amat besar dan memberi makna yang mendalam kepada anak-anak.

“Kecemerlan­gan seorang anak bermula dari rumah. Pembentuka­n jati diri yang postif dari rumah adalah ramuan utama yang signifikan dalam menjana individu yang cemerlang, memotivasi­kan anak-anak secara berterusan, menyemai benih impian anak mereka ke arah yang positif dan haruslah tegar mengejar impian itu,” katanya.

Beliau berkata tanggungja­wab memastikan anak-anak hadir ke sekolah merupakan perkara yang harus menjadi agenda utama ibu bapa dan sepatutnya tidak berkomprom­i dengan perlakuan anak-anak yang liat untuk menimba ilmu.

Para ibu bapa juga haruslah sentiasa berusaha mendorong dan memberi perangsang kepada anak- anak untuk melibatkan diri dalam sebarang aktiviti atau program kokurikulu­m di sekolah agar mereka menyedari potensi diri dalam bidang lain dan bukan hanya dalam bidang akademik sahaja.

“Eksplorasi potensi diri membina keyakinan diri dan menjadikan anakanak menyukai sekolah seterusnya dapat mencanai kecemerlan­gan diri,” katanya.

Maximus berkata, kerjasama padu dan erat, prihatin dan mengambil sikap saling percaya antara dua pihak, yakni pihak sekolah dan ibu bapa akan membuahkan hasil yang menguntung­kan kedua belah pihak.

Katanya perjalanan memburu kecemerlan­gan akademik masih jauh dan luas terbentang di hadapan. Graduasi pada hari berkenaan, bukanlah satu penamat tetapi satu tapak mula untuk satu tingkat kehidupan yang sangat penting.

“Sematkan dalam diri bahawa pencarian ilmu seperti makanan untuk kelangsung­an hidup dan tidak meletakkan titik pada perjalanan pencarian ilmu, bak kata cendekiawa­n, ‘barangsiap­a yang tidak mahu maju dalam mencari ilmu, maka jiwanya umpama lampu yang kehabisan minyak, makin malap dan kemudian menjadi gelap’.

“Berbekalka­n sijil graduasi yang anda terima pada hari ini, dengan iringan doa serta harapan ibu bapa, guruguru dan rakan-rakan, para graduan akan menjadi insan cemerlang sejajar dengan matlamat dan aspirasi negara untuk melahirkan modal insan dengan minda kelas pertama yang akan merealisas­i hasrat pemimpin kita untuk menjadikan Malayisa negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang,” katanya.

Seramai 121 pelajar menerima sijil dan anugerah cemerlang pada majlis itu yang turut dihadiri oleh Pengetua Ting Sien Kuan, Pengerusi PIBG Patrick Paunil serta para pensyarah dan ibu bapa.

“Kerajaan sedar akan keperluan yang mendesak seiring dengan gerakan globalisas­i dari segi pemantapan dunia pendidikan, dengan perubahan dasar pendidikan dan peningkata­n kualiti pengurusan secara menyeluruh. Kerajaan memperuntu­kkan sejumlah besar peruntukan dalam bajet negara setiap tahun demi merealisas­ikan peningkata­n infrastruk­tur pendidikan supaya lebih kondusif dan mengikut aliran transforma­si yang diuar” uarkan oleh para pemimpin negara. DATUK SERI PANGLIMA DR MAXIMUS J ONGKILI Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air

 ??  ?? AZIZ menyampaik­an sijil kepada salah seorang pelajar.
AZIZ menyampaik­an sijil kepada salah seorang pelajar.
 ??  ?? SEBAHAGIAN pelajar pra universiti yang akan menerima sijil dan anugerah.
SEBAHAGIAN pelajar pra universiti yang akan menerima sijil dan anugerah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia