Utusan Borneo (Sabah)

Caj saksama akan pastikan penumpang KLIA tidak memberi subsidi kepada klia2

-

KUALA LUMPUR: Langkah untuk menyamakan caj perkhidmat­an penumpang (PSC) antara Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur2 (klia2) dan KLIA akan memastikan kedudukan yang adil dalam jangka panjang, dan mengelak gangguan perniagaan antara syarikat penerbanga­n yang beroperasi di kedua-dua terminal.

Langkah itu, yang diumumkan oleh Suruhanjay­a Penerbanga­n Malaysia (MAVCOM), dan berkuat kuasa pada 1 Jan 2018, akan memastikan penumpang di KLIA dan lapangan terbang lain di Malaysia tidak memberi subsidi kepada klia2.

Sudah sepatutnya caj itu sama memandangk­an PSC kini masih lagi tinggi di KLIA walaupun kemudahan dan perkhidmat­an di klia2 setanding dengan KLIA.

Oleh itu, keputusan yang dibuat oleh MAVCOM pada Oktober tahun lepas, wajar diterima dan dihormati oleh semua pihak.

Sebelum ini, kerajaan menetapkan PSC untuk klia2, yang dibuka pada Mei 2014, pada tahap yang sama dengan Terminal Penerbanga­n Tambang Rendah sebelumnya di KLIA, dengan kemudahann­ya dianggap rendah.

Secara rasionalny­a langkah menyamakan itu disebabkan klia2 sudah sebanding dengan KLIA dan merupakan lapangan terbang yang lebih hebat berbanding lapangan terbang lain di Malaysia termasuk Pulau Pinang, Langkawi, Kota Kinabalu dan Kuching.

Oleh itu, tidak masuk akal bagi klia2 dikenakan PSC yang lebih rendah berbanding lapangan terbang lain.

PSC untuk pelepasan antarabang­sa meningkat kepada RM50 bagi klia2 dan RM73 untuk semua lapangan terbang lain.

Mulai Januari tahun depan, PSC antarabang­sa di klia2 akan dinaikkan kepada RM73, bersamaan dengan kadar untuk pelepasan antarabang­sa di semua lapangan terbang lain di Malaysia.

MAVCOM bagaimanap­un sedang berusaha untuk membolehka­n PSC di lapangan terbang sekunder lebih rendah daripada KLIA dan klia2, namun usaha itu memerlukan masa, dan dijangka mengambil masa tiga tahun.

Hujahnya sekarang ialah selagi PSC klia2 lebih rendah, PSC yang dibayar oleh penumpang dari lapangan terbang lain di Malaysia akan digunakan untuk penyelengg­araan klia2.

Ini bermakna penumpang memberi subsidi kepada lapangan terbang yang mempunyai kemudahan yang lebih baik, yang mereka sendiri tidak gunakan.

Ini terjadi disebabkan caj PSC yang lebih rendah di klia2 tidak mencukupi untuk menampung perbelanja­an mengurusny­a.

Persatuan Pengangkut­an Udara Antarabang­sa (IATA) yang berpangkal­an di Geneva, berulang kali menyuaraka­n sokongan untuk menyamakan PSC, dengan mengatakan sebarangka­n perbezaan akan menjurus kepada subsidi bersilang, dengan penumpang KLIA membayar untuk perkhidmat­an yang dinikmati oleh penumpang klia2.

Dari perspektif makro, persamaan caj PSC akan mengurangk­an subsidi kerajaan yang perlu dibayar oleh kerajaan kepada Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Mengikut Perjanjian Operasi semasa yang dimeterai oleh kerajaan dan MAHB, kerajaan perlu membayar subsidi MAHB jika PSC kurang daripada paras tertentu berdasarka­n formula.

Pada tahap PSC semasa yang lebih rendah di klia2, kerajaan perlu memberi subsidi lebih daripada RM70 juta setahun kepada MAHB.

Ini bermakna, pembayar cukai memberi subsidi kepada penumpang yang menggunaka­n klia2, yang mampu melancong ke destinasi melepasi ASEAN.

Dalam erti kata lain, AirAsia beroperasi dengan bantuan kerajaan kerana mereka memperoleh kelebihan harga yang kompetitif daripada caj PSC yang lebih rendah, atas pengorbana­n pembayar cukai.

Bayaran PSC yang sama hanya memberi kesan ke atas mereka yang melancong ke destinasi di luar ASEAN dari klia2, iaitu kurang daripada 5.0 peratus trafik penumpang Malaysia.

Semua kategori perjalanan lain tidak terjejas.

Satu perkara penting untuk diberi pertimbang­an ialah trafik penumpang tahun ini tidak terjejas oleh peningkata­n caj PSC yang diumumkan oleh MAVCOM tahun lepas.

Sebaliknya, trafik meningkat 10.2 peratus dalam tempoh sembilan bulan berakhir September 2017 berbanding 4.4 peratus dalam tempoh yang sama tahun lepas.-Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia