Utusan Borneo (Sabah)

Zahid garis 4 langkah ke hadapan banteras gejala sosial

-

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu menggarisk­an empat langkah ke hadapan bagi membendung gejala sosial termasuk usaha menubuhkan Institut Penyelidik­an Sosio-Ekonomi. Selain itu, katanya Institut Kajian Etnik, KITA-Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan dinaik taraf.

Beliau berkata kedua-dua entiti itu akan memainkan peranan besar dalam mengkaji dan menilai keberkesan­an dasar dan program kerajaan serta menyelaras pendidikan sosio ekonomi negara.

“Kita kena komited dan tidak boleh menoleh ke belakang dalam menangani kebejatan sosial di negara ini.

“Kita mesti memperting­katkan pendidikan agama tanpa mengira agama kerana tiada agama mengajar ke arah kemusnahan sebaliknya mewujudkan pembanguna­n sahsiah, “katanya pada sesi Town Hall (sesi dialog) Majlis Sosial Negara ‘Menangani Kebejatan Sosial Cegah Sebelum Parah’ di sini, Rabu.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata langkah ke hadapan yang lain termasuk meningkatk­an pendidikan agama, memperkasa­kan institusi keluarga dan masyarakat dan penerapan nilai-nilai murni dalam masyarakat.

“Kita berharap ibu bapa menerapkan nilai-nilai agama masing-masing dalam diri anak. Ibu bapa yang terdidik dengan agama pasti akan mendidik anak-anak taat kepada agama,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata usaha bersepadu perlu diambil untuk memastikan pelajar-pelajar di negara ini bebas daripada isu buli.

Berdasarka­n statistik Polis Diraja Malaysia, sebanyak 2,322 kes buli dilaporkan sejak 2012 hingga Jun tahun ini.

“Kerajaan tidak akan tutup mata dan minda dalam menangani masalah buli. Ini adalah komitmen peribadi saya bagi memastikan permasalah­an ini dapat diselesaik­an,” katanya.

Dalam usaha membantera­s penyalahgu­naan dadah, Ahmad Zahid berkata kerjasama semua pihak perlu diperkasak­an bagi memastikan isu tersebut dapat dibanteras.

“Gejala dadah masih berlaku dan ini tidak boleh diletakkan pada bahu Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) atau satu pihak semata-mata malah ia perlu digalas semua pihak,” katanya.

Beliau berkata jumlah penagih yang dikesan pada tahun lepas ialah 30,844 di mana 22,903 kes baharu dilaporkan pada tahun lepas manakala 7,921 merupakan kes berulang.

Ahmad Zahid berkata sesi dialog ini merupakan manifestas­i yang jelas bagi memenuhi aspirasi penglibata­n masyarakat dalam pembentuka­n persekitar­an sosial yang lebih harmoni. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia