Lebih 6,000 daftar sebagai ahli Gerah seluruh Sabah
KOTA KINABALU: Kirakira lebih 6,000 orang seluruh Sabah berdaftar sebagai Sahabat Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah) sejak awal tahun.
Timbalan Pengarah (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah Hasbilah Mohamad Salleh berkata jumlah itu membuktikan masyarakat Sabah mula sedar akan pentingnya menjadi mata dan telinga SPRM dalam menangani aktiviti rasuah.
Pihaknya mendapati terdapat peningkatan dari segi penyaluran maklumat berkenaan aktiviti rasuah daripada masyarakat Sabah dengan cara datang ke pejabat SPRM mahupun menggunakan saluran lain yang disediakan.
“Ini adalah salah satu strategi untuk memastikan rakyat dapat bersama kita dan ahli Gerah ini boleh dikatakan sebagai mata dan telinga SPRM.
“Kita anggarkan lebih 6,000 ahli di seluruh Sabah telah berdaftar sebagai sahabat Gerah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sebelum melepaskan Konvoi Program Mesra Rakyat Kembara jelajah Anti Rasuah (Kejar) 2017 di pejabat SPRM pada Ahad.
Hasbilah berkata Sahabat Gerah juga berfungsi sebagai peningkatan kekuatan SPRM melalui penglibatan masyarakat sekaligus menjadikan ia sebagai satu tindakan agresif SPRM.
“Tindakan kita boleh dikatakan agresif sehingga memberikan tekanan kepada perasuah ini. Justeru, masyarakat sudah mula berani dan meletakkan kepercayaan tinggi kepada tugas SPRM yang saksama.
“Dengan kekuatan kirakira 130 anggota SPRM Sabah sahaja, kita tidak boleh mencapai kesemua pelosok kawasan untuk menjalankan siasatan, jadi kita menggunakan mata dan telinga kita baik dalam kakitangan kerajaan mahupun masyarakat awam kerana mereka sahaja yang tahu apa yang berlaku di sekeliling mereka,” katanya.
Katanya, SPRM akan berusaha lebih untuk meningkatkan keahlian Gerah seramai mungkin dengan harapan masyarakat setempat peka dan memberi sokongan berterusan kepada SPRM.
Sementara itu, Kejar 2.0 adalah salah satu program turun padang SPRM bagi mendekati rakyat sebagai platform menyebar luas mesej antirasuah dan salah guna kuasa kepada masyarakat setempat.
Ia juga mendidik masyarakat untuk lebih berani tampil menyalurkan maklumat berhubung jenayah rasuah dan salah guna kuasa kepada agensi berkenaan.
Daripada sambutan masyarakat kepada Kejar 1.0 lalu, membuktikan bahawa program itu berjaya mendidik masyarakat sehingga ia dapat diteruskan kepada Kejar 2.0.