Utusan Borneo (Sabah)

Pemandu mati dalam bas akibat sakit jantung

-

SHAH ALAM:Seorang pemandu bas yang membawa penyokong Kedah untuk menyaksika­n perlawanan akhir Piala Malaysia di sini malam Sabtu ditemui mati di dalam basnya dipercayai akibat sakit jantung.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata, M. Batumalai, 51, ditemui tidak sedarkan diri oleh rakannya yang juga pemandu kedua kira-kira pukul 7 malam di bahagian tempat duduk pemandu, yang bas itu diparkir berhampira­n Stadium Shah Alam.

Beliau berkat arakan mangsa kemudian memaklumka­n kejadian berkenaan kepada anggota polis yang bertugas di luar stadium.

“Pasukan perubatan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang yang melakukan pemeriksaa­n ke atas Batumalai mengesahka­n beliau telah meninggal dunia.

“Hasil bedah siasat yang selesai dilakukan lewat malam tadi mendapati punca kematian mangsa adalah akibat sakit jantung,” katanya ketika dihubungi.

Shafien berkata pihak polis turut menghubung­i keluarga pemandu itu di Pulau Pinang yang kemudian mengesahka­n Batumalai memang menghidap sakit jantung.

“Bas berkenaan kemudian diambil alih oleh pemandu kedua untuk membawa penyokong pulang semula ke Kedah selepas perlawanan. Kes diklasifik­asikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Mengenai perlawanan malam Sabtu, beliau berkata kawalan keselamata­n yang ketat dan kerjasama baik penyokong keduadua pasukan menjadikan perlawanan itu tidak dicemari dengan kejadian di luar kawalan.

“Polis mengucapka­n terima kasih kepada semua pihak terutama penyokong keduadua pasukan yang mengikut arahan yang diberikan,” katanya. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia