7,900 KRT seluruh negara setakat September
PETALING JAYA: Kesedaran masyarakat terhadap betapa pentingnya peranan Rukun Tetangga dalam mempupuk perpaduan semakin meningkat.
Menteri di Jabatan Perdana Tan Sri Jospeh Kurup berkata, statistik menunjukkan sehingga 30 September 2017, sebanyak 7,900 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) telah ditubuhkan di seluruh negara.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kursus Penubuhan dan Pengukuhan Koperasi Rukun Tetangga di Auditorium Maktab Koperasi Malaysia di sini pada Sabtu.
Melihat betapa pentingnya pembangunan ekonomi dalam sesebuah komuniti bagi menjadi sebuah negara maju, beliau berkata kerajaan melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) telah memperkenal Projek Ekonomi Rukun Tetangga.
Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, projek itu telah diperkenalkan pada 2014 yang bertujuan menambah pendapatan ahli Rukun Tetangga melalui aktiviti ekonomi yang dijalankan.
“Selain itu, ia juga dapat mendidik Rukun Tetangga untuk berdikari dan menjana pendapatan sendiri tanpa bergantung kepada peruntukan kerajaan semata-mata,” katanya.
Tambahnya, sehingga 31 Oktober 2017, sebanyak 187 Rukun Tetangga di seluruh negara telah terlibat dalam Projek Ekonomi Rukun Tetangga yang meliputi pelbagai sektor, antaranya perkhidmatan, produk/makanan, penternakan, pertanian dan kraftangan.
Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata pada tahun ini, sebanyak 21 KRT telah dipilih untuk terlibat dalam projek itu di mana setiap yang terpilih akan menerima geran pembangunan sebanyak RM4,500 bagi pelaksanaan projek ekonomi.
Beliau berharap agar ia menjadi projek perintis kepada penubuhan Koperasi Rukun Tetangga selain memberi pendedahan dan pemahaman mengenai konsep dan falsafah berkoperasi kepada KRT.
“Kerajaan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU-JPM) telah memperuntukkan sebanyak RM13,250 kepada enam parlimen sebagai ‘Touch Points Projek’ koperasi RT pada tahun ini,” katanya.