Utusan Borneo (Sabah)

CABARAN PRU-14 GETIR

Musa ingatkan Pemuda BN untuk mantapkan pasukan

- Oleh YAP SIONG HAN

KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) dinasihatk­an tidak mengambil ringan cabaran bakal dihadapi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Ketua Menteri Tan Sri Musa Haji Aman berkata, PRU-14 adalah pentas menentukan nasib BN untuk terus memerintah atau sebaliknya.

“PRU-14 juga menentukan masa depan rakyat, negeri dan negara. Oleh itu, semua pemimpin dan ahli BN perlu bersatu dan bekerja sebagai sebuah pasukan mantap.

“Orang muda kini bersifat lebih lantang ketika menyuaraka­n pendapat mereka dan kita perlu hadapi perkara ini secara berhati-hati," katanya ketika menyempurn­akan Majlis Pelancaran JR Plus Pemuda BN Sabah, di sini malam Ahad.

Beliau berkata, Pemuda BN juga perlu sentiasa berwaspada apabila berhadapan cabaran daripada pihak pembangkan­g dan jangan sesekali mudah terpengaru­h pujukan mereka.

Musa berkata, JR Plus penting kepada Pemuda BN bagi memastikan parti itu kekal memerintah pada masa hadapan, selain mempunyai tanggungja­wab untuk menarik orang muda menyokong BN.

“Kerjasama adalah penting bagi semua sayap untuk memastikan BN menang pada PRU-14 dan menangani segala fitnah yang dilemparka­n oleh pembangkan­g.

“Pemuda juga perlu bekerja lebih keras kerana anda semua adalah pengganti pemimpin negara di masa hadapan.

“Oleh itu, anda semua perlu kekalkan kemenangan PRU14 kepada semua calon BN," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pemuda BN Khairy Jamaluddin berkata, JR Plus adalah pendekatan terbaik bagi pemuda mendekati golongan belia sehingga ke akar umbi.

Katanya, 20 peratus pengundi muda pada PRU-14 adalah terdiri daripada mereka yang pertama kali mengundi.

“Ini adalah pengundi bersih, belum menyertai apa-apa parti...golongan inilah yang perlu kita tumpukan agar mengundi BN.

“Merekalah golongan yang akan menentukan kemenangan mana-mana parti pada PRU-14,” katanya.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, Pemuda BN harus bekerja secara sepasukan kerana parti tidak mampu menang sekiranya bersendiri­an.

Hadir sama ialah Pengerusi Pemuda BN Sabah Yamani Hafez Musa serta tetamu kehormat yang lain.

 ??  ?? MUSA (berdiri, tengah) bersama Khairy (empat kanan) serta ahli Pemuda BN merakamkan gambar kenangan.
MUSA (berdiri, tengah) bersama Khairy (empat kanan) serta ahli Pemuda BN merakamkan gambar kenangan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia