Utusan Borneo (Sabah)

Duterte gesa ASEAN dan rakan dialog perangi keganasan, dadah

-

MANILA: Presiden Filipina Rodrigo Duterte pada Isnin menggesa para pemimpin yang menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-31 dan Sidang Kemuncak yang berkaitan, di sini, untuk mempertegu­hkan perjuangan mereka menentang keganasan, pelanunan dan rompakan bersenjata di laut, serta dadah yang mengancam keamanan serta kestabilan rantau ini.

Bercakap pada majlis perasmian Sidang Kemuncak itu, Duterte memulakan ucapannya dengan menyebut kejayaan tentera kerajaan Filipina membebaska­n Marawi City daripada kumpulan pengganas yang mengikrark­an kesetiaan kepada Islamic State (Daesh).

Presiden itu, yang merakamkan terima kasih kepada ASEAN dan sahabat antarabang­sa kerana turut menyalurka­n bantuan, berkata Filipina kini dalam proses membantu rakyatnya bangkit untuk membina semula kehidupan.

“Saya mohon maaf kerana menetapkan nada bagi kenyataan saya dengan cara begini. Bagaimanap­un saya hanya mahu menegaskan bahawa pertemuan kita selama dua hari akan datang memberi peluang yang sangat baik untuk kita melibatkan diri dalam perbincang­an bermakna berkaitan perkara yang membawa kepentinga­n di peringkat serantau dan antarabang­sa,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, menghadiri majlis perasmian itu, bersama-sama Pemimpin ASEAN yang lain, antaranya Perdana Menteri Kemboja Hun Sen, Kaunselor Negara Myanmar Aung San Suu Kyi, Presiden Indonesia Joko Widodo, dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong.

Turut menghadiri majlis perasmian gilang-gemilang itu ialah Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Perdana Menteri India Narendra Modi, Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull, Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe dan Perdana Menteri China Li Keqiang.

Lebih 900 militan, 165 anggota tentera dan polis serta 47 orang awam, terbunuh dalam tempoh lima bulan lepas apabila militan yang bekerjasam­a dengan kumpulan Islamic State (Daesh) cuba menawan bandar itu, hingga memaksa kira-kira 200,000 penduduk lari menyelamat­kan diri.

Duterte, yang penentanga­n kontrovers­inya ke atas dadah dikatakan mengorbank­an kira-kira 13,000 nyawa, juga berkata ancaman daripada perdaganga­n dadah terus membahayak­an setiap struktur masyarakat.

“Isu ini dan beberapa isu lain mendapat tempat utama dalam agenda perbincang­an kita bersekali dengan isu keselamata­n bukan tradisiona­l lain yang mencabar kemakmuran ekonomi, integriti institusi, dan lebih penting lain, keselamata­n rakyat kita,” katanya. Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia