Utusan Borneo (Sabah)

UCA diminta berperanan penting kepada masyarakat Cina

-

SIBU: Persatuan Gabungan Cina (UCA) Sarawak diminta supaya memainkan peranan penting kepada masyarakat Cina di negeri ini.

Menteri Perdaganga­n Antarabang­sa dan E-Dagang Dato Sri Wong Soon Koh berkata ini penting bagi menjaga kebajikan serta isu-isu berkaitan masyarakat itu.

“UCA perlu lebih proaktif dan komited dengan peranannya serta menggerakk­an persatuan demi masyarakat Cina di negeri ini.

“Saya mahu mereka lebih peka dengan isu-isu semasa yang sering melanda masyarakat kita,” katanya ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun Ke-40 UCA Bahagian Sibu di sini, pada Sabtu.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dudong Datuk Tiong Thai King, Timbalan Duta Besar China ke Kuching Zhang Yang, Residen Bahagian Sibu Hii Chang Kee, Temenggung Datuk Vincent Lau, Presiden UCA Sarawak Hii Teck Yun, Pengerusi UCA Bahagian Sibu Kong Hian Khim dan pengerusi pengelola Lau Kiun Foo.

Beliau menyempurn­akan majlis itu bagi mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg.

Sementara itu, Wong juga mahu UCA rapat dengan agensi-agensi kerajaan dalam usaha menyelesai­kan masalah serta isu-isu semasa dihadapi masyarakat Cina.

Menteri Kewangan Kedua itu berkata, ini perlu bagi memudahkan urusan mereka malah hubungan harus dikukuhkan membolehka­n setiap urusan mudah serta mempunyai banyak saluran.

“Selain itu, UCA juga perlu mengukuhka­n hubungan mereka dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain dalam mempelbaga­i peranan mereka,” jelasnya.

Bagi mengekalka­n UCA terus relevan kepada masyarakat Cina di negeri ini, Wong mahu semua ahlinya sentiasa bersatu padu serta mengetepik­an persepsi politik berbeza.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia