Utusan Borneo (Sabah)

Wang tunai, barangan ditahan sudah dipulangka­n kepada empat wanita

- Oleh AMIR ANUAR

TAWAU: Isu tuntutan barangan peribadi milik empat wanita warga Indonesia kini selesai selepas Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau memulangka­n kesemua barangan berkenaan.

Proses penyerahan itu dibuat di Pejabat Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau di sini, petang Selasa, dengan dihadiri wakil PTS, KRI Tawau, Majlis Keselamata­n Negara (MKN) dan salah seorang ahli keluarga wanita terlibat.

Timbalan Ketua Perwakilan KRI Tawau Djati Ismoyo berkata hanya ibu kepada Juliana Peni yang menerima secara langsung barangan peribadi milik anak perempuann­ya.

“PTS menyerahka­n wang tunai RM10,000 dan barang kemas Juliana iaitu dua utas rantai emas, satu gelang emas, enam pasang anting-anting emas, dan dua bentuk cincin emas.

“Kesemua barang itu sudah diserahkan kepada ibu Juliana berdasarka­n bukti slip resit simpanan barang anaknya,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Djati berkata PTS turut menyerahka­n wang tunai RM3,648 milik Linda Imani, RM3,050 kepunyaan Flaviana Tifa dan RM2,380 kepada Astin Delima.

Menurutnya, kesemua wang tunai sebanyak RM9,078 terbabit akan diserahkan kepada Linda, Flaviana dan Astin oleh wakil KRI Tawau pada hari ini (Khamis) di Nunukan.

“Dengan penyerahan kesemua barang ini dan penerimaan ahli keluarga Juliana serta KRI Tawau mewakili Linda, Flaviana dan Astin, tuntutan ini dianggap sudah selesai,” katanya.

Mengulas kenyataan Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (APMM) Tawau bahawa tidak ada barang ditahan semasa penahanan awal keempat-empat wanita itu, Djati berkata kemungkina­n barang-barang itu diserahkan langsung kepada P T S bukannya APMM.

Beliau berkata sama seperti Malaysia, Indonesia juga sentiasa komited untuk menjaga hubungan baik sesama negara berjiran tanpa dibayangi oleh kecurigaan atau sangsi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia