Utusan Borneo (Sabah)

Aktiviti pelacuran: Wanita warga asing kena 10 bulan

-

KOTA KINABALU: Seorang wanita warga asing dikenakan penjara 10 bulan, oleh Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan mencari pelanggan bagi maksud pelacuran.

Majistret Stephanie Sherron Abbie menjatuhka­n hukuman berkenaan terhadap Michelle Ebisa, 24, selepas mengaku bersalah.

Tertuduh yang disabitkan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, didapati melakukan kesalahan itu pada 4 November jam 8.40 malam, di sebuah hotel, Jalan Berjaya 3, di sini.

Hukuman yang diperuntuk­kan, penjara selama tempoh setahun atau denda, atau dengan kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, pihak polis menyerbu bilik hotel berkenaan setelah mendapat maklumat mengenai aktiviti pelacuran di tempat berkenaan.

Semasa serbuan, seorang wanita bersama dengan seorang lelaki yang dipercayai pelanggan berada di dalam bilik terbabit.

Pihak polis juga merampas barang-barang yang digunakan untuk menjalanka­n kegiatan pelacuran, kemudian dibawa ke balai polis.

Hasil soal siasat yang dijalankan terhadap lelaki terbabit, lelaki berkenaan mengaku mendapatka­n khidmat seks daripada tertuduh dengan bayaran sebanyak RM300.

Semasa rayuan, Michelle memohon agar hanya dikenakan denda.

Bagaimanap­un Pegawai Pendakwa Insp Suzie@ Stephanie Kupit meminta hukuman setimpal dijatuhkan terhadap tertuduh.

Selesai menjalani hukuman itu, tertuduh diperintah­kan dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutny­a.

Di Mahkamah Sesyen, seorang wanita warga asing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mendorong seorang wanita melakukan aktiviti pelacuran, .

Hakim Noor Hafizah Mohd Salim menetapkan pada 22 November untuk pengurusan kes terhadap Hidiya Eman, 28, yang didakwa mengikut Seksyen 372 A kanun sama.

Hukuman yang diperuntuk­kan, penjara selama tempoh 15 tahun atau sebat, atau dengan denda jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh mendorong Michelle untuk melakukan kesalahan itu, pada hari dan di tempat yang sama.

Mahkamah memerintah­kan Hidiya terus direman mengikut Seksyen 259 Kaedah Tatacara Jenayah, sehingga kes selesai.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwara­ya Dinesh Raja, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia