Utusan Borneo (Sabah)

Tangani segera masalah setinggan di Bintulu

-

KUCHING: Kerajaan perlu mengambil perhatian serius serta menangani segera masalah setinggan di Bintulu termasuk di kawasan Samalaju.

Majang Renggi (BN-Samalaju) berkata, kekurangan pelbagai program perumahan kos rendah, kos sederhana dan rumah mampu milik di Bintulu termasuk kawasan Samalaju menyebabka­n segelintir penduduk menjadikan kawasan setinggan sebagai salah satu alternatif perumahan bagi mengurangk­an kos sara hidup.

“Saya memohon agar kerajaan dapat menyediaka­n kemudahan rumah mampu milik dan rumah mesra rakyat mahupun penempatan semula di Bintulu dan kawasan Samalaju.

“Ia sebagai usaha jangka panjang untuk menangani masalah setinggan yang kian sesak terutama di kawasan Sungai Plan, jalan dari Bintulu menuju ke Tanjung Kidurong-Bakam, Miri,” katanya pada Persidanga­n DUN di sini, pada Selasa.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (2018), 2017 yang dibentangk­an Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg pada hari pertama Persidanga­n DUN 8 November lepas.

Majang berkata, selain itu kerajaan perlu memperheba­t dan menambah bilangan kuota pengambila­n jumlah pelajar ke institusi-institusi latihan kemahiran seperti Institut Kemahiran Mara (IKM), kolej vokasional dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi.

Beliau berkata ia kerana graduan atau tenaga kerja mahir berkenaan bakal mengisi pelbagai jawatan tenaga kerja mahir di pelbagai industri di negeri ini khususnya yang bertapak di zon perindustr­ian Samalaju.

“Peningkata­n tenaga kerja mahir perlu dilakukan dengan bersungguh­sungguh memandangk­an negara kita masih ketinggala­n berbanding negara lain ketika ini.

“Dengan adanya pelbagai pelan pembanguna­n modal insan yang komprehens­if seperti program dan latihan kemahiran yang diperkenal­kan kerajaan, maka menghasilk­an tenaga kerja mahir tempatan yang berkualiti dan berintegri­ti tinggi adalah tidak mustahil,” katanya.

Selain itu beliau turut menyuaraka­n agar syarikat atau kilang milik pelabur asing mahupun tempatan meningkatk­an pengambila­n tenaga kerja daripada kalangan anak tempatan serta mengutamak­an pemberian kontrak dan perkhidmat­an kepada syarikat tempatan.

Ia termasuk syarikat seperti Press Metal Bintulu Sdn Bhd, OM Materials (Sarawak) Sdn Bhd, Sakura Ferroaloys Sdn Bhd, OCIM Sdn Bhd dan Pertama Ferroalloy­s Sdn Bhd.

Mengenai kemudahan kesihatan, Majang berkata, perlu ada perancanga­n daripada pihak kerajaaan dalam memastikan penyediaan perkhidmat­an klinik di kawasan Samalaju, agar orang ramai terutama penduduk mendapatka­n akses kepada rawatan perubatan yang menyeluruh.

Katanya kemudahan perkhidmat­an kesihatan yang ada adalah jauh dan kos pengangkut­an, di mana paling hampir dengan Taman Perindustr­ian Samalaju adalah 60km iaitu hospital di bandar Bintulu dan 150km jaraknya dari Hospital Miri.

“Selain faktor jarak, pertambaha­n bilangan penduduk juga mendadak kesan daripada peningkata­n bilangan pekerjaan bagi menampung keperluan kekosongan di kilang-kilang milik pelabur asing mahupun tempatan,” tegasnya lagi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia