Utusan Borneo (Sabah)

Sasaran skuad ping pong sekadar suku akhir Sukan Komanwel

-

KUALA LUMPUR:Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM) tidak mahu meletakkan sasaran tinggi pada Sukan Komanwel Gold Coast 2018 yang akan berlangsun­g pada April, berikutan bakal kehilangan khidmat dua pemain berpengala­man.

Setiausaha Kehormat TTAM, Chan Foong Keong berkata dua pemain veteran negara, Ng Sock Khim, 33, dan Mohd Shakirin Ibrahim, 32, sudah menyatakan hasrat untuk bersara pada akhir tahun ini, bagi memberi peluang kepada pemain muda menyerlah.

Ekoran itu persatuan hanya meletakkan sasaran untuk mara ke peringkat suku akhir acara berpasukan lelaki dan wanita daripada tujuh acara yang bakal dipertandi­ngkan dalam sukan ping pong pada temasya tersebut, katanya.

“Pada masa ini, mereka masih menjalani latihan bersama skuad kebangsaan, tetapi telah menyatakan hasrat untuk bersara selepas Sukan SEA pada Ogos lalu. Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hanya meluluskan tiga tempat bagi lelaki dan tiga untuk wanita bagi edisi Komanwel kali ini.

“Fokus utama kita ialah Sukan SEA 2019 di Filipina, jadi kami mahu memberi peluang dan pendedahan kepada pemain muda supaya menyerlah. Sebagai persediaan, kita hantar pemain menjalani latihan intensif selama sebulan di Beijing bermula Mac depan,” katanya pada sidang media selepas undian Kejohanan Ping Pong Malaysia ke-54 di sini, pada Sabtu.

Untuk rekod, pencapaian terbaik Malaysia pada Sukan Komanwel ialah pingat perak acara berpasukan wanita pada edisi 2014 di Glasgow, menerusi Beh Lee Wei yang kini menjadi jurulatih kebangsaan; Sock Khim, Lee Rou You dan Ho Ying, manakala pada edisi 2010 di New Delhi, Malaysia meraih gangsa acara sama. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia