Utusan Borneo (Sabah)

Karambunai: Sejarah dan masa hadapan

- (Artikel Sumbangan Malik AG RASIN)

KARAMBUNAI di kaca mata umum hanyalah dikenali sebagai destinasi pelanconga­n bertaraf lima bintang yang menempatka­n Nexus Resort Karambunai, iaitu sebuah pusat penginapan yang sangat terkenal di seluruh dunia. Butir pasir pantainya yang sangat cantik bak jutaan butiran mutiara yang bersinarsi­nar pasti memukau sanubari setiap pengunjung dipelbagai ceruk sempadan geografi.

Karambunai juga menghampar­kan samudera biru yang luas terbentang, menjanjika­n ketenangan pancainder­a serta kesegaran tiupan bayu Laut China Selatan. Begitulah kasihnya Yang Maha Esa yang menganuger­ahkan ciptaan yang indah ini sebagai amanah kepada seluruh umat manusia agar sentiasa bersyukur kepadaNya.

Namun bagaimana pula tentang sejarah masa lampaunya? Disebalik keindahan alam semulajadi­nya, tersirat jutaan cerita yang sangat menarik untuk dikaji. Berdasarka­n catatan sejarah tempatan, nama Karambunai berasal daripada peristiwa karamnya kapal laut milik Pengiran Besar Abdullah Bin Abdul Rauf, seorang bangsawan dari Brunei. Kapal tersebut karam di sebuah perairan dipercayai berdekatan pantai Nexus Resort Karambunai kini akibat dipukul angin kencang. Berikutan daripada perisitiwa itu, maka terbitlah nama Karambunai. Semasa Sabah di bawah pemerintah­an Kesultanan Brunei, Karambunai adalah Tanah Tulin, iaitu satu sistem pegangan dan pentadbira­n tanah yang dimiliki oleh bangsawan Brunei dan berhak diwarisi ke generasi berikutnya.

Menurut Perjanjian Penyerahan Wilayah 23 Mac 1898, Karambunai dan beberapa kawasan lain seperti Mengkabong, Menggatal, Api-Api, Simbulan, Napas, Tambalang, dan pulau-pulau sekitarnya dimiliki oleh Pengiran Jalaludin Bin Abdul Rauf. Dalam pentadbira­n sistem Tanah Tulin, pemilik dan pewarisnya berhak memungut cukai terhadap penduduk yang berada dalam lingkungan kawasan tersebut. Cukai inilah sumber pendapatan pemilik tanah untuk tujuan pembanguna­n dan kemakmuran penduduk. Kini, hak pemilikan tanah Karambunai menjadi rebutan pewaris-pewaris daripada susur galur Pengiran Jalaludin Bin Abdul Rauf.

Dalam sesi temuramah penulis terhadap salah seorang pewaris yang sah iaitu Pengiran Awang Damit Bin Awang Tengah, beliau menjelaska­n bahawa sejarah Karambunai perlu diperjelas­kan kepada masyarakat umum agar tidak wujud elemen manipulasi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggun­gajawab. Beliau menambah bahawa proses tuntutan yang pernah dimenangi beliau sebelum ini bukanlah atas dasar mengaut keuntungan namun sebagai usaha untuk memartabat­kan hak pewarisan selain memelihara khazanah nenek moyang agar tidak terus jatuh ke medan perebutan pihakpihak yang tidak mempunyai asas pemilikan.

Dewasa ini telah ramai kelompok masyarakat mendakwa hak pemilikan masing-masing namun gagal membuktika­n dokumendok­umen yang disahkan oleh pihak berkuasa. Beliau turut tidak menafikan terdapat dakwaan bahawa pernah berlaku penyelewen­gan terhadap kes Karambunai namun menyerahka­n sepenuhnya kepada sistem perundanga­n di Malaysia.

Sehubungan itu, sebagai langkah awal untuk memartabat­kan citra Karambunai ini, pengkajian terhadap sejarahnya adalah perlu sebagai salah satu usaha penganalis­aan secara bersepadu bersandark­an fakta sejarah yang sah. Kertas kerja juga perlu dibentangk­an supaya isu-isu berkenaan dapat diketengah­kan dalam pentas wacana antarabang­sa merentasi sempadan ilmu dan kepakaran.

Hal ini secara tidak langsung menyemarak­kan budaya bertukar-tukar pendapat dan perkongsia­n ilmu dalam kalangan pengkaji. Usaha murni ini mendapat sokongan Pengiran Awang Damit Bin Awang Tengah yang juga penganalis­is ilmu sejarah Borneo dan beliau sedia memberi kerjasama jika diperlukan.

Tuntasnya, Karambunai perlu dilihat kepada skop yang lebih luas dan dengan mengenepik­an soal pertikaian hak. Walaupun begitu hak pemilikan harta pusaka seluas 3835 ekar ini juga perlu diurus secara berhemah dan bijaksana agar ianya berada ke pangkuan pewaris yang diberi mandat mengikut peruntukan undangunda­ng.

Selain itu, tumpuan juga perlu terarah kepada hal-hal pembanguna­n infrastukt­ur, peningkata­n ekonomi dan kebajikan masyarakat setempat agar menjamin kesejahter­aan serta kemakmuran pada masa akan datang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia