Utusan Borneo (Sabah)

UWL rancang bawa musim sejuk ke Langkawi tahun depan

-

LANGKAWI: Selepas kejayaan program pembiakan penguin di luar habitat biasa haiwan itu, Underwater World Langkawi (UWL) kini sedang merancang untuk menghasilk­an satu lagi persekitar­an yang tidak normal iaitu salji di sebuah pulau tropika.

Pengurus Besar UWL Abd Razak Abd Aziz berkata projek yang dinamakan Rumah Salji itu telah dijalankan dan berharap tarikan baharu ituakan menambat hati pelancong tempatan dan luar negara yang tidak pernah mengalami musim sejuk sebelum ini.

“Ia sedang dalam proses sekarang dan kami menganggar­kan ia dapat dipersemba­hkan kepada orang ramai sekurang-kurang menjelang April (tahun depan). Kami telah memperuntu­kkan satu ruang (di UWL) dan kini menunggu ketibaan peralatan yang diperlukan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata idea untuk mewujudkan Rumah Salji ini dihasilkan dengan niat untuk memberi peluang kepada pelancong dari negara-negara tropika untuk mengalami suasana salji.

“Bukanlah sangat untuk pelancong Eropah namun ini akan menjadi peluang terutama bagi pelancong tempatan juga yang tidak pernah berkunjung ke negara-negara bercuaca sejuk untuk mengalami suasana salji,” katanya.

Sementara itu, Abd Razak berkata program pembiakan penguin UWL yang bermula pada 2003 telah terbukti berjaya memanjangk­an jangka hayat spesies burung yang tidak dapat terbang itu berbanding dengan yang tinggal di habitat semula jadi.

Purata jangka hayat dua spesies penguin, Afrika dan Rockhopper, yang dibiakkan oleh mereka adalah di antara 10 dan 15 tahun di habitat semula jadi tetapi beberapa penguin berusia hampir 30 tahun di UWL.

“Dalam habitat semula jadi, penguin terdedah kepada beberapa ancaman, terutamany­a daripada pemangsa seperti anjing laut namun beberapa ekor daripadany­a sudah berusia 29 tahun,” katanya.

Beliau berkata UWL juga merancang untuk menambah spesies penguin yang dimiliki mereka sekarang dan ini termasuk penguin Emperor, yang merupakan terbesar di kalangan spesies berkenaan.

“Kami mempunyai rancangan tetapi untuk mendapatka­n spesies baharu seperti Emperor, kami perlu menyediaka­n persekitar­an yang sesuai untuk mereka kerana sesetengah spesies memerlukan persekitar­an yang lebih sejuk daripada apa kita dapat lakukan sekarang,” katanya. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia