Isyarat satelit dikesan, Argentina berharap
Tujuh kali cubaan berhubung tetapi gagal timbulkan keyakinan ARA San Juan terapung
BUENOS AIRES: Harapan untuk menemui mangsa terselamat dalam tragedi kehilangan kapal selam Argentina yang membawa 44 kru kembali cerah selepas tentera laut menyatakan ia mengesan isyarat kecemasan.
Hubungan terputus dengan ARA San Juan sejak awal Rabu, mendorong Buenos Aires untuk melancarkan pencarian di laut dan udara dengan bantuan dari negara-negara termasuk Brazil, Britain, Chile, Uruguay dan Amerika Syarikat (AS).
Operasi bagaimanapun dirumitkan oleh keadaan cuaca ribut, menurut jurucakap tentera laut Argentina Enrique Balbi kelmarin.
Namun kementerian pertahanan berkata mereka telah mengesan tujuh isyarat yang dipancarkan menerusi satelit yang dipercayai cubaan kapal selam itu untuk kembali berhubung.
Isyarat diterima jam 10.52 pagi dan 3.42 petang oleh pelbagai pangkalan tentera laut dengan bantuan pakar komunikasi satelit AS, tetapi gagal dikunci, sekali gus menghalang sambungan sepenuhnya.
“Buat masa sekarang, kami berusaha menentukan lokasi tepat isyarat tersebut dipabcarkan, dengan jangkaan ia mungkin daripada kapal selam yang hilang,” menurut kementerian.
Awal semalam, Pangkalan Selatan AS berkata ia menghantar pesawat kedua tentera laut P-8A Poseidon untuk menyertai operasi, di mana pesawat berpangkalan di Florida bersama 21 kru itu dijangka tiba di Argentina lewat semalam.
Pesawat pencarian NASA P-3 sudahpun menyertai operasi, menurut Pangkalan Selatan.
Pangkalan Penyelamat Bawah Laut berpangkalan di California terdahulu menyatakan ia mengerah dua jentera dalam air yang direka untuk menyelamatkan kelasi kapal selam pada kedalaman berlainan, selain robot dalam air yang beroperasi dari jarak jauh ROV.
“Kami akan melakukan apa sahaja yang perlu untuk menemui kapal selam itu secepat mungkin,” menurut Presiden Mauricio Macri dalam Twitter.
Semua pangkalan komunikasi darat di sepanjang pantai diarah mengimbas sebarang susulan ketika anggota keluarga kru yang hilang menunggu penuh gelisah di bandar pesisiran pantai Mar del Plata.
Claudio Rodriguez, yang mana abangnya Hernan antara kru terbabit, berharap isyarat satelit itu menandakan kapal tersebut masih terapung dan akan ditemui.
“Mereka pasti terapung, syukurlah.
“Ini memberikan kami harapan kerana kita tahu sekiranya mereka masih berada di bawah, mereka pasti tidak selamat,” katanya kepada berita TN dari bandar barat Mendoza.
ARA San Juan adalah kapal selam diesel-elektrik kelas TR-1700 yang dalam perjalanan pulang dari misi rutin ke Ushuaia dekat penjuru paling selatan Amerika Selatan ke pangkalannya di Mar del Plata, kira-kira 400 kilometer selatan Buenos Aires.
Antara yang berada di dalamnya adalah pegawai kapal selam wanita pertama Argentina, pegawai persenjataan Eliana Krawczyk, 35.
Antara tiga kapal selam dalam armada Argentina, sepanjang 65 meter dan selebar tujuh meter, ia dibina syarikat Jerman Thyssen Nordseewerke dan dilancarkan pada 1983.
Ia menjalani pemasangan semula antara 2007 dan 2014 untuk melanjutkan tempoh kegunaannya kira-kira 30 tahun lagi. — AFP