Petronas tunjuk komitmen pacu Sarawak capai negeri maju
KUCHING: Kejayaan dikecapi Petronas di negeri ini, menunjukkan komitmen berterusan syarikat itu dalam membantu merealisasikan impian Sarawak menjadi negeri maju pada masa hadapan.
Naib Presiden Pemasaran (Urusniaga Hiliran) Petronas, Dato’ Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir berkata, antara kejayaan dilakar Petronas setakat ini telah membuat pelaburan sebanyak RM140 bilion dalam pembangunan sektor minyak dan gas di negeri ini.
“Untuk makluman, kita juga secara aktif terlibat dalam membangunkan keupayaan tempatan selain berjaya mendaftarkan sebanyak 420 syarikat Sarawak sebagai vendor Petronas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Menandatangani Perjanjian antara Petronas Dagangan Berhad dan Pusaka Capital Sdn Bhd (PCB) untuk kerjasama Perniagaan Bitumen di Sarawak di sebuah hotel terkemuka di sini, pada Sabtu.
Majlis itu disaksikan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga dihadiri oleh Pengerusi PCB Dato Sarudu Hoklai dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Berhad Dato Ibrahimnuddin Mohd Yunus
Selain itu, beliau menzahirkan rasa bangga kerana pihaknya mempunyai hampir 5,000 warga Sarawak bekerja untuk Petronas di Sarawak serta di seluruh operasi globalnya.
Sehubungan itu, kata Zainal sebagai syarikat minyak dan gas di negara ini, Petronas akan terus komited untuk mengadakan kerjasama dengan kerajaan negeri bagi menyokong pertumbuhan industri minyak dan gas di rantau ini.
Bercakap mengenai majlis itu, Zainal berkata, hari ini adalah satu lagi contoh komitmen Petronas untuk berkembang dan membangun sama bersama negeri Sarawak terumma dalam industri perniagaan bitumen.
“Justeru, saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana terus memberi sokongan sepenuhnya terhadap operasi Petronas di negeri ini,” ujar beliau.