Utusan Borneo (Sabah)

Kedah sah tidak beraksi pada Piala AFC 2018

-

KUALA LUMPUR: Juara Piala FA, Kedah, sah tidak akan beraksi dalam saingan Piala Konfederas­i Bola Sepak Asia (AFC) selepas Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) gagal melepasi syarat pelesenan dalam tempoh masa yang ditetapkan AFC.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin, dalam kenyataan bersama Perkongsia­n Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), berkata keputusan tersebut dibuat selepas KFA gagal mengemukak­an penyata kewangan beraudit.

Penyata kewangan berkenaan merupakan kriteria wajib untuk dimuat naik ke dalam Sistem Pentadbira­n Pelesenan Kelab AFC (CLAS) sebelum tarikh akhir yang ditetapkan First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM untuk diteliti.

“Sudah jelas dan nyata hanya kelab-kelab yang memenuhi kriteria ditetapkan dalam peraturan mengikut tarikh akhir yang telah ditentukan oleh FAM akan diberikan lesen (AFC dan kebangsaan).

“Sehingga tarikh berkenaan, Kedah tidak menghantar penyata kewangan beraudit mereka yang merupakan kriteria wajib. Ini bermakna, dengan tarikh akhir ditetapkan sistem CLAS dan tarikh FIB bersidang sudah dilewati, tiada pasukan dibenarkan untuk memuat naik apa juga dokumen tambahan,” jelas Hamidin.

Sehubungan itu, beliau menegaskan keputusan untuk tidak memberikan lesen AFC kepada KFA adalah mengikut peraturan yang ditetapkan AFC, sekali gus menepis dakwaan sesetengah pihak kononnya Kedah tidak diberikan layanan yang adil oleh FAM.

“Andai Kedah diberikan Lesen AFC dan dicalonkan untuk ke Piala AFC, kemungkina­n audit daripada pihak AFC bakal mendapati yang lesen telah diberi secara salah dan FAM akan dikenakan hukuman.

“FAM dan FMLLP samasama berharap tiada sebarang teori konspirasi atau khabar angin mengatakan yang Kedah tidak diberi layanan yang adil. Kami sendiri cukup berharap yang Kedah akan dapat mengambil bahagian dan berjaya,” katanya. Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia