Utusan Borneo (Sabah)

Polis tahan lelaki, kesan empat lagi geng pecah kedai telefon bimbit

-

BUKIT MERTAJAM: Polis menahan seorang lelaki dan sedang mengesan empat lagi rakannya bagi membantu siasatan kes pecah kedai telefon bimbit di Jalan Perai Jaya 2, di sini dan kecurian 21 telefon bimbit bernilai RM15,000.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, polis menahan lelaki berusia 20-an itu di sebuah rumah di Teluk Indah, Perai, di sini kira-kira pukul 6.45 pagi ini.

“Hasil pemeriksaa­n polis menemui dua buah telefon bimbit yang dilaporkan dicuri dari kedai berkenaan dalam kejadian 23 Nov lepas,” katanya di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata hasil siasatan lelaki itu mengaku terlibat dalam kejadian pecah kedai berkenaan bersama empat lagi rakannya termasuk beberapa lagi kes pecah kedai telefon bimbit di sekitar Butterwort­h dan Bukit Mertajam sejak lima bulan lepas.

Katanya identiti empat rakannya itu telah dikenal pasti dan usaha mengesan mereka giat dijalankan.

Lelaki yang bekerja sendiri itu kini direman selama lima hari bagi membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, katanya.

Sementara itu, Nik Ros Azhan berkata polis menahan seorang lelaki berusia 35 tahun di Taman Pelangi, di sini kira-kira pukul 3 pagi pada Jumaat kerana terlibat dalam kegiatan samun di sekitar daerah SPT.

Katanya hasil pemeriksaa­n polis menemui sebilah pisau berukuran 30 sentimeter bersama lelaki itu dan dipercayai digunakan dalam kegiatan samun bersenjata sejak beberapa bulan lepas.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan polis percaya dia terlibat dalam beberapa kes samun bersenjata di daerah SPT. Lelaki yang turut positif dadah itu kini direman untuk siasatan lanjut,” katanya.Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia