Utusan Borneo (Sabah)

Operasi menyelamat dan pengurusan PPS ditahap terbaik

-

KOTA BHARU: Sejak gelombang pertama banjir musim tengkujuh melanda negeri ini Sabtu lepas, lebih 13,000 orang dipindahka­n ke 100 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sembilan jajahan di negeri ini.

Setakat ini, Jajahan Pasir Mas mencatatka­n jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu lebih 10,000 orang yang ditempatka­n di 42 PPS kebanyakan mangsa di sekitar Rantau Panjang dan kawasan berhampira­n Sungai Golok, yang melimpah sehingga melumpuhka­n operasi perniagaan Zon Bebas Cukai Rantau Panjang yang popular dalam kalangan pengunjung.

Mengambil iktibar daripada bah kuning yang berlaku 2014, pihak berkuasa kini dilihat lebih bersedia dalam operasi menyelamat dan sedang memberi kemudahan terbaik dalam semua aspek kepada mangsa di kesemua PPS.

Malah respons daripada agensi penyelamat seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Sukarelawa­n Malaysia (Rela), ternyata begitu pantas hasil daripada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diwujudkan hasil pengalaman banjir 2014.

Pengerusi Jawatankua­sa Bencana dan Bantuan Banjir Negeri Datuk Mohd Faudzi Che Mamat berkata 8,000 petugas daripada agensi tersebut akan terlibat dalam operasi menghadapi banjir musim tengkujuh ini yang bermula November (2017) sehingga Mac tahun depan (2018).

Mohd Faudzi berkata 699 PPS dengan kapasiti muatan 213,180 mangsa disediakan sebagai persiapan menghadapi bencana alam tersebut di negeri ini serta kesemua 216 pangkalan hadapan di 10 jajahan di negeri ini, telah dibekalkan bantuan bekalan makanan serta barangan keperluan lain.

“Setakat ini semua berpuas hati, tidak ada isu yang timbul malah kami sentiasa membuat penambahba­ikan,” katanya kepada Bernama di sini.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bergabung tenaga bersama agensi lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam memastikan kesemua PPS dilengkapi kemudahan terbaik untuk memberikan keselesaan kepada mangsa banjir.

Jabatan Meteorolog­i Malaysia serta Jabatan Pengairan dan Saliran yang sentiasa mengemas kini maklumat mengenai cuaca dan paras air sungai, kemudianny­a disebarlua­skan pula oleh media massa dan media baharu ternyata memberi tahap kesedaran yang tinggi kepada penduduk di kawasan berisiko banjir.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang membuat tinjauan di Pasir Mas, dilaporkan berkata kerajaan persekutua­n akan memastikan mangsa banjir diberikan bantuan terbaik yang diibaratka­n ‘layanan diraja’ ketika berada di PPS.

Menteri Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim turut turun padang memantau kemudahan yang disediakan di PPS berkenaan.

Tinjauan wartawan Bernama di beberapa PPS mendapati majoriti mangsa banjir berpuas hati dengan operasi menyelamat (memindahka­n mereka ke PPS) dan kemudahan yang disediakan di PPS terutama bekalan makanan serta barang keperluan lain seperti khemah, tilam dan kain selimut.

Walaupun baru lepas menjalani tempoh berpantang, namun Nor Fatin Amirah Mohd Razi, 19, tidak melihat keperluan berpindah ke PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati di Pasir Mas sebagai satu masalah kerana memikirkan keselamata­n anak yang dilahirkan 50 hari lepas.

Nor Fatin Amirah, berasal dari Kampung Serai Lima, Lubuk Jong di sini berkata beliau berpindah ke PPS berkenaan sejak tiga hari lepas bersama anak keduanya, Qismina Hadirah Ahmad Hanif (50 hari) dan anak sulungnya Qalesya Humaira, dua tahun.

“Ini pengalaman pertama saya menjaga bayi di PPS kerana sebelum ini, kira-kira dua tahun lepas saya turut dipindahka­n ke pusat pemindahan ini namun ketika itu saya masih mengandung. Walaupun PPS ini menempatka­n ramai mangsa banjir namun saya bersyukur kerana masih selesa tinggal di sini, cuma si kecil kadang-kadang meragam kerana keadaan cuaca yang sejuk,” katanya.

Sepasang suami isteri, orang kelainan upaya (OKU), Ismail Ibrahim, 61, dan isteri Hanisah Dollah, 58, antara mangsa yang ditempatka­n di PPS Sekolah Kebangsaan Kamil 1, Pasir Puteh, bersyukur dengan kemudahan yang disediakan untuk mereka.

Ismail yang hilang penglihata­n akibat penyakit saraf mata manakala Hanisah akibat penyakit kronik kencing manis, dari Kampung Jelor berpindah ke PPS itu bersama keluargany­a.

Bagaimanap­un, tinjauan juga mendapati beberapa aspek memerlukan penambahba­ikan seperti pengurusan segelintir PPS terutama yang melibatkan dewan orang ramai dan sikap penduduk yang enggan berpindah awal ke PPS.

Pengarah JBPM Kelantan, Nazili Mahmood yang turut sama meninjau kawasan yang dilanda banjir menasihatk­an penduduk di kawasan terjejas berpindah secepat mungkin dan bersiap sedia menghadapi bencana alam itu yang dijangka berlaku beberapa kali lagi dalam tempoh musim tengkujuh yang berlarutan sehingga Mac tahun depan.

“Penduduk terbabit sepatutnya berpindah ketika keadaan belum serius, bukan ketika banjir semakin memburuk dan kritikal sehingga boleh mengundang musibah. Sekiranya mereka berpindah di waktu kecemasan ia boleh mengundang bahaya terutamany­a ketika paras air semakin tinggi dan berarus deras,” katanya.Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia