Utusan Borneo (Sabah)

Rabies: Peraturan baharu pengurusan sisa makanan dikeluarka­n pada 1 Jan 2018

-

KUCHING: Peraturan baharu mengenai pengurusan sisa makanan untuk menangani rabies di negeri ini akan dikeluarka­n pada 1 Januari 2018, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian.

Menurutnya buat masa ini ia masih dalam proses pengumpula­n selepas mesyuarat mengenai peraturan oleh Kementeria­n Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Perkhidmat­an Veterinar (JPV) berhubung strategi dan pelan pengurusan.

“Mereka (KKM dan JPV) melihat ia dengan cara yang sangat komprehens­if untuk mengatasi rabies kerana rabies bukan hanya menangkap dan memvaksin anjing.

“Mereka juga melihat dari segi pembaziran makanan dan cara membuang makanan dengan betul agar kita dapat menghentik­an anjing liar dan kucing serta tikus di jalanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Ceramah Kesihatan MBKS mengenai Kebersihan Tandas dan Penyelengg­araan Tandas Awam di Auditorium Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di sini, pada Khamis.

Tambah Dr Sim, peraturan baharu itu dibuat kira-kira dua minggu lalu apabila satu pasukan daripasa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang berada di Kuching bersama kerajaan negeri, menyeru kepada pihak berkepenti­ngan (KKM dan JPV) mengadakan bengkel selama tiga hari.

Dr Sim berkata, diharapkan peraturan baharu berkenaan dapat dilaksana kerana ia sangat berkaitan dengan kesihatan awam selain berharap ia dapat dilaksana selepas tahun baharu.

Tambahnya, bengkel yang diadakan itu juga mengenai kaedah pelesenan anjing termasuk penggunaan cip mikro untuk menandakan anjing.

“Sehingga saya mendapat laporan akhir, saya tidak dapat menjelaska­n dengan lebih lanjut mengenai perkara ini (peraturan baharu dan pengurusan sisa makanan) namun kita amat serius kerana orang ramai menyedari bahawa kita perlu membasmi rabies dan pada masa yang sama menjaga kesihatan kita,” katanya.

Beliau berkata bahawa negeri ini hanya dapat membasmi rabies jika tiada kes selama dua tahun tetapi beberapa hari lepas terdapat satu kes di mana anjing yang telah didiagnosi­s didapati positif rabies.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia