Utusan Borneo (Sabah)

3,815 PESALAH DITAHAN

3,081 kes membekal, memiliki dadah sepanjang Jan hingga Okt 2017

-

TAWAU: Polis Sabah merekodkan tangkapan 3,815 pesalah menerusi 3,081 kes membekalka­n serta memiliki dadah sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sabah Supt Mohamed Fadzil A Rahman.

Beliau berkata sepanjang tempoh sama pihaknya turut merekodkan rampasan dadah termasuk syabu (66.6 kilogram (kg)), ganja (6.89kg), ketamin (0.15kg), ephederin (0.17kg) dan daun ketum (4.8kg).

“Dadah yang dirampas ini bukan diproses di Sabah tetapi dibawa masuk ke negeri ini dengan pelbagai taktik termasuk melalui perkhidmat­an kurier,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar pelupusan dadah di sebuah kilang kayu di sini, Sabtu.

Katanya hingga kini, pihaknya tidak mengesan sebarang pusat pemprosesa­n dadah di negeri ini dan berusaha menjalanka­n penguatkua­saan bagi mengekang gejala penyalahgu­naan serta pengedaran dadah daripada berleluasa di negeri ini.

Beliau berkata sejak Januari hingga November ini, seramai 89 individu dikenakan tindakan tegas mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) (LLPK) dan 194 lagi menerusi Seksyen 39C ADB 1952 di Sabah.

Sementara itu, Mohamed Fadzil berkata sebanyak 18.319kg pelbagai jenis dadah dengan nilai pasaran RM572,666 dilupuskan menerusi proses pembakaran tertutup menggunaka­n khidmat syarikat sebuah kilang kayu, di sini.

Pelupusan itu melibatkan kes yang telah selesai dibicaraka­n sejak 2000 hingga 2016, membabitka­n 2914 kertas siasatan di sembilan daerah di negeri ini.

“Antara dadah yang dilupuskan termasuk syabu, ganja, heroin, pil ecstacy, pil psikotik dan ketamin daripada barang kes di Tawau, Semporna, Lahad Datu, Kunak, Kinabatang­an, Sandakan, Beluran, Kota Kinabalu serta Penampang,” katanya.

Beliau berkata pelupusan itu selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) dalam penyiasata­n kes mengikut ADB 1952 supaya pelupusan dilaksanak­an selesai perbicaraa­n dan tamat tempoh rayuan.-Bernama

Dadah yang dirampas ini bukan diproses di Sabah tetapi dibawa masuk ke negeri ini dengan pelbagai taktik termasuk melalui perkhidmat­an kurier.

SUPT MOHAMED FADZIL A RAHMAN Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sabah

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia