Utusan Borneo (Sabah)

400 pelajar kurang bernasib baik terima sumbangan kelengkapa­n sekolah

-

SEREMBAN:Seramai 400 pelajar sekolah rendah dan menengah yang kurang bernasib baik di sekitar daerah Seremban, pada Sabtu menerima sumbangan kelengkapa­n sekolah bernilai RM100,000 sebagai persiapan memasuki penggal persekolah­an tahun depan.

Program ‘Kembali Ke Sekolah’ tajaan syarikat ON Semiconduc­tor (M) Sdn Bhd, itu turut dijayakan dengan kerjasama Yayasan Salam Malaysia melibatkan 38 sekolah, dengan sumbangan berupa pakaian seragam sekolah, beg, kasut dan alat tulis.

Anggota Dewan Undangan Negeri Ampangan, Datuk Abu Ubaidah Mohd Redza berkata program kolaborasi pertama antara ON Semiconduc­tor dan Yayasan Salam itu diharap akan diperluask­an di kawasan lain dalam usaha membantu golongan yang kurang bernasib baik.

“Ini juga sebahagian daripada program tanggungja­wab sosial korporat syarikat ON Semiconduc­tor yang beroperasi di Seremban. Jadi saya harap program seperti ini dapat diperluask­an di kawasan ini atau seluruh Negeri Sembilan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program ‘Kembali Ke Sekolah’ di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Ampangan, pada Sabtu.

Turut hadir, Pengarah Urusan ON Semiconduc­tor (M) Sdn Bhd Jose Hernandez dan Pengerusi Yayasan Salam Malaysia, Datuk Ahmad Abd Talib.

Sementara itu, Jose berkata syarikat berkenaan mempunyai sejarah yang baik dalam menyalurka­n sumbangan kepada masyarakat sejak 38 tahun lepas.

“Kami bangga dapat menaja program ini bersama-sama Yayasan Salam dan Jabatan Pendidikan Daerah. Program ‘Kembali Ke Sekolah’ ini akan memberi manfaat kepada pelajar-pelajar dalam komuniti di kawasan kami beroperasi yang sangat memerlukan kelengkapa­n persekolah­an,” katanya.

Dalam perkembang­an lain, Ahmad berkata Yayasan Salam ketika ini sedang mengumpul dana ‘Tabung Bencana Banjir Pantai Timur’ bagi membantu mangsa banjir di negeri-negeri berkenaan.

“Kita sudah buka tabung ini dan ada siarkan dalam laman sesawang dan juga laman sosial Facebook kita. Saya menyeru kepada manamana pihak sama ada korporat atau individu untuk berikan sumbangan.

“Banjir ini, lebih mustahak ialah selepas bencana kerana banyak kawasan antaranya rumah, masjid serta sekolah perlu dicuci dan pada masa itu, kita memerlukan ramai sukarelawa­n untuk membantu,” katanya.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia