Utusan Borneo (Sabah)

Dia Musuhku Dia Jodohku

-

AKU memandang wajah mak yang begitu garang. Aku tahu mak marah tapi aku tidak boleh terima keputusann­ya untuk menerima pinangan Saat anak Haji Jalal. Aku terus terusan membantah yang aku tidak mahu.

“Apa masalah kau ni Ani sampai tak mahu kahwin umur kau dah 27 tahun tau kau ingat kau tu muda lagi, kawan-kawan kau semua sudah kahwin dan beranak pinak, ni Saat nak ambik kau jadi isterinya kau tolak kau dah kenapa!”marah mak macam nak telan aku.

“Saat suami orang mak, Ani tak akan ambil suami orang biarlah tak kahwin tak apa,”jawabku buat mak tambah marah.

“Tapi mereka dah tak tinggal sebumbung tunggu masa nak bercerai je,” kata mak buat aku tambah seram.

“Lagilah Ani tak nak, sebab bila penceraian itu berlaku mesti orang cakap disebabkan aku, tak naklah mak carilah orang lain kali ini Ani janji tak membantah, siapapun pilihan mak Ani terima saja asal jangan Saat,” kataku tanpa memikir siapa bakal pilihan mak. Nanti mak pilih lelaki yang mengarut matilah aku tapi aku sudah terlepas cakap. Aku jadi risau nak tarik balik aku sudah terlepas cakap.

“Baiklah kali ini mesti jadi punya kau jangan berani nak membantah lagi faham,”segera mak dan aku mula longlai.

Mak tiba-tiba datang kepadaku balik lalu menyerahka­n sekeping gambar. Aku menyambut dengan tertanya-tanya.

“Itu bakal laki kau tak ada makananya kau nak menolak faham,”aku terus melihat gambar tersebut. Nasir? aku terkejut gila. Mak lagi gila dia tahu aku bermusuh dengan Nasir sejak kecil, sepupu aku anak Mak Long dari bandar yang sombong dan angkuh itu. “Mak…mak!”jeritku “Tak ada…tak ada…Nasir itulah bakal laki kau, kau dah janji kan tak akan membantah lagi, kau ikat janji kau tu,”jawab mak daripada bilik. Anuar berdehem dari dapur sambil tersenyum.

“Terlajak perahu boleh diundur Kak Long, terlajak kata abang Nasirlah jawabnya, aduh tak lama lagi rumah ni jadi rumah perang antara Iran dan Iraq,”Anuar ketawa tergelak besar dia.

“Kau boleh diam tak!”jeritku dan Anuar terus masuk biliknya.

Aku merasa risau sampaikan aku hilang fokus untuk mengajar. Habis budak-budak kusembur dengan kemarahank­u. Bunga yang melihatku risau terus datang menghampir­iku.

“Ani kau dah kenapa nampak risau saja, habis pelajar kau marah kenapa apa yang berlaku,”tanya Bunga kawan rapatku.

“Mak Ani, dia nak Ani kahwin dengan Saat, Ani tak mahu, kau tahukan Saat tu macam mana, sudah tu penolakan punya angkara Ani terlepas cakap supaya pilih orang lain dan Ani tak membantah lagi, aduh lajunya mak bertindak dia pilih pula Nasir sepupu Ani anak Mak Long,” kataku sambil pensil kupusing-pusing tanda risau.

“Dah tu apa pula masalah, kau terima sajalah sepupu kau tu,”kata Bunga.

“Masalahnya Nasir itu musuh ketat aku sejak kecil lagi tau, ada saja yang kami gaduhkan,”terangku dan Bunga mengangguk-angguk tanda faham.

“Sampai sekarang kamu bermusuh ke?”tanya Bunga.

“Tak adalah, aku sudah lama tidak jumpa dia hampir berpuluh tahun juga tak jumpa, dia kan tinggal di KL tempat nenek dia dan sekarang dia balik Sabah sebab kena ganti tempat Pak Long yang dah tidak sihat,”terangku sebagi mana mak cerita padaku semalam.

“Terima sajalah mungkin dia dah lupa semunya kot,”kata Bunga cuba meyakinkan aku.

“Dia bolehlah lupa, tapi Ani tak semudah itu Ani boleh lupa selagi parut kat muka aku ni tak hilang,”kataku sambil menunjukka­n parut luka disebabkan perbuatan Nasir.

“Ala sikit je pun itupun nak berdendam, habis tu macam mana, nak membantah juga ke selepas kau terlepas cakap,”kata Bunga sambil ketawa. Aku terdiam rasa geram pula dengan Bunga.

Aku rasa tak gembira tahun ini sebab Mak Long dan Mak Ngah balik berhari raya, biasa Mak Ngah saja balik. Nenek kelihatan gembira sebab anak- anaknya dari jauh balik berhari raya.

“Ani …Ani…keluarlah Ani!” jerit Nasir daripada luar.

“Apa kau nak, aku sibuklah buat kerja rumah,”tipuku padahal aku duduk di atas katil sambal membaca majalah Ujang.

“Aku pakai kasut sekolah kau ya nak main bola,”kata Nasir, aku terkejut dan terus membuka pintu bilik. Aku berlari nak dapatkan kasut kesayangan­ku tapi Nasir dah pakai dan terus berlari untuk pergi padang.

“Mak tengoklah Nasir tu dia pakai kasut sekolah aku untuk main bola,”kataku merengek pada mak.Mak Long hanya tersenyum langsung tidak bersuara.

“Alah apa susah lepas dia pakai cucilah itupun kau nak berkira, sini bantu mak di dapur tak lama lagi dah nak berbuka,”kata Mak pula.

“Mak kenapa Mak Long berhari raya di sini mak, rumah diorang kan besar di KK tu datang sini buat apa, Ani tak sukalah dengan Nasir tu mak, dia sombong dan berlagak,”kutukku membuat mak memukul bahu ku.

“Kau ni kenapa bermusuh sangat dengan Nasir tu ada yang tak kena ke, lagi satu kalau kau ungkit lagi kenapa Mak Long beraya sini aku cili mulut kau tu faham,”marah mak lalu menghulurk­an cili kepadaku.

“Dia itulah selalu cari pasal dengan aku,”kataku rasa tidak puas hati.

“Sama saja kamu tu masing masing nak mengenakan, Ani ingat ya jangan kau cuba buat perangai,” ugut mak buat aku memandangn­ya tidak puas hati

Aku tinggalkan Mak lalu berlari ke padang tempat Nasir main bola. Anuar hanya duduk melihat Nasir bermain bola. Aku dengan berani meminta kasutku tapi Nasir tidak bagi malah dikotorkan­nya kasutku dalam lumpur. Aku marah lalu kutolak Nasir sampai Nasir jatuh dalam lumpur. Nasir ambil batu lalu dibaling kena di wajahku di pipi sebelah kiri. Aku menangis kesakitan, bila melihat darah aku jatuh pengsan. Aku sedar bila mendengar Mak Long marahmarah kepada Nasir. Anuar bagi tahu aku Nasir yang angkat aku balik rumah.

Aku pura-pura tidur bila Mak Long datang. Nasir masih dimarah Mak Long.

“Kau tahu ke Nasir kalau ikut kau kena sogit ni sebab mencederak­an sampai mengeluark­an darah kau kena kahwin dengan Ani,”kata Mak Long buat aku terkejut.

“Sogit tu apa Mak?”tanya Nasir macam orang bodoh.

“Sogit itu denda setelah kau diadili oleh ketua kampung, kau nak ke kahwin dengan Ani,”kata Mak Long lagi.

“Mahu senang aku peram peramkan dia jadi hamba aku,”kata Nasir selamba. Aku punya sakit hati terus sajaku bangun laluku baling dia dengan bantal.

“Ani Mak Long bergurau sajalah, kenapa kamu berdua ni asyik nak bergaduh saja, Nasir cepat minta maaf cepat!”jerit Mak Long dan Nasir terus menghulur tangannya untuk meminta maaf. Kusambut dengan serba salah.

“Aku minta maaf ya sayang nanti kita kahwin aku belikan kau batu besar senang aku hempuk kepala kau,” aku cuba nak tarik tanganku tapi Nasir tak mahu lepaskan, sudahnya aku gigit sampai dia menjerit baru dia lepaskan.

“Aduh Ani…Nasir… Ya Allah kamu ni kenapa, dah cepat dah nak berbuka ni, pening kepalaku lah kamu berdua ni,”kata Mak Long merungut. Aku berlari ke dapur tapi dihalang oleh Nasir lalu ditolak aku ke belakang. Dia terus berlari duduk dekat sebelah nenek tempatku selalu duduk tapi Nasir selalu ambil kuasa. Aku benar benar sakit hati.

“Duduk mana mana pun sama Ani, Nasir bukan selalu di sini faham,”kata nenek memarahiku. Nasir tersenyum mengejek.

“Nasir sudah sudahlah tu, ayah kalau hilang sabar sakit kau nanti Nasir,”kata Pak Long memarahi Nasir. Aku pula berganti senyum dan Anuar menendang kakiku.

“Mak lepas hari raya ni Nasir akan pindah sekolah ke KL. UPSR pun dia ambil di sana, itu atas permintaan ibu sebab mereka tak ada teman di sana anak-anak yang lain semua jauh, Nasir pun dah setuju,”kata Pak Long disetujui oleh Mak Long.

“Alhamdulil­lah aman dunia aku,”kataku dan mak terus mencubit bahuku buatku menjerit kesakitan.

“Eh kau ingat aku suka tengok muka kau ke, aku lebih suka tengok berok dalam hutan daripada tengok muka kau berok,”kata Nasir.

“Nasir kenapa cakap begitu depan rezeki ni,”kata nenek.

“Entahlah mak diorang ni macam anjing dangan kucing bergaduh saja,”kata Mak Long.

“Yalah Bakar elok juga tu tidaklah mereka kesepian,”kata nenek.

“Langau cepatlah kau berambus semaklah,”kataku buat Nasir baling aku dengan seketul ayam goreng. Nasib tak besar potonganny­a, kalau tak merasa lagi aku sakitnya.

“Aduh Nasir…Ani…sampai bila kamu macam ni, kalau kamu terus begini berjodoh kamu nanti percaya cakap nenak,”kata nenek sambil menggeleng­kan kepalanya.

Azan maghrib pun berbunyi. Nasir disuruh membaca doa. Aku berharap dia tidak pandai baca doa berbuka puasa, malangnya pandai juga budak sombong dan angkuh ni baca doa.

“Ani apa kau buat ni kelas kau dah bermula budak panggil tu, kau fikirkan apa tu?”tanya Fauziah rakanku dan Bunga berdehem.

“Tak ada apalah aku pergi dulu,”kataku sambil cuba melupakan kenangan pahit 19 tahun yang lalu. Padahal aku gelisah sebab rombongan akan datang petang ini. Apalah yang bakal berlaku nanti kata hatiku.

Aku hanya diam bila Mak sedang sibuk buat persiapan, semua sudah siap hanya menunggu rombongan Mak Long datang saja bersama Nasir. Aku jadi menggelaba­h macam mana nak berhadapan dengan Nasir yang memangnya musuh ketatku.

Aku membawa diriku ke rumah Bunga. Dia sedang membuat Nasi Ayam. Memang langkah kanan. Tapi hati tidak tenang buat aku tiada selera hendak makan. Bunga tersenyum memandangk­u.

“Ani gelabah ni kenapa tunang nak datang patunya Ani gembira,”kata Bunga. Sakit pula hati ini mendengarn­ya. Aku hanya diam dengan muka masam.

“Mahunya tak gelabah selama ini kami musuh dan sekarang dia dah nak jadi suami aku, macam mana aku nak hadap dia,”kataku lalu melepaskan sudu. Tidak jadi nak menyuap nasi Ayam.

“Apa susah kau pandang dia, dia pandang kau, kan senang habis cerita, tak payah nak cakap,”kata Bunga selamba buat aku bengang. Aku terdiam seketika kenapalah aku terlepas cakap pada mak dan kenapalah mak pilih Nasir, kenapa tak pilih orang lain, kata hatiku merintih. Rasa malu rasa takut semua bercampur baur menjadikan aku seperti orang yang gila. Kejap nak lari kejap nak balik rumah aku tak mengerti dengan perasaanku. Baik aku larilah tapi kalau aku lari kasihanlah mak dan Mak Long, mereka dah buat persiapan. Kad jemputan sudah diedarkan. Macam mana ni. Sedang aku duduk di tangga rumah Bunga, tiba-tiba sebuah kereta Honda putih parkir di halaman rumah. Keluarlah Anuar adik aku dan tak lama seorang pemuda yang tidak aku kenal. Dia senyum kepadaku lalu dia lambaikan tangan agar aku mendekat dengannya.

“Bang Nasir, Nuar balik dulu ya, Kak Long Abang Nasir bakal suami kak Long ni,”kata Anuar dan terus pergi.

“Awak buat apa awak ke sini?”tanyaku tergagap-gagap.

“Cari kaulah sayang, lama abang tunggu di rumah tak datang datang ingat sayang lari,”aku terkebil-kebil mendengar perkataan sayang. Rasa nak muntah ada juga. Abang? Eh dah buang tabiat ke dia ni kata hatiku.

“Lama lagilah nak kahwin tak payahlah nak bersayang sayang bagai, panggil Ani cukuplah,”kataku membantah dia hanya memandangk­u sambil geleng kepala.

“Jomlah abang nak bawa sayang beli cincin dan kelengkapa­n yang lain, ada Mak Nagh dah buat.”

“Eh dah lewat ni sempat ke nak balik?”

“Memang pun tak sempat. Abang ajak tidur rumahlah, Atok dan Wan ada kat rumah jom,”kata Nasir dan aku terpaksa juga naik keretanya.

“Em nak balik rumah dulu nak ambil Beg,”kataku sambal memasang tali pinggang keledar.

“Tak payah sayang, Mak Ngah dah masukkan beg sayang di belakang,”kata Nasir masih bersayang-sayang. Aku geli mendengarn­ya.

“Nasir kenapa Nasir setuju kahwin dengan Ani kita ni kan bermusuh daripada kecil?”tanyaku dan Nasir terus memandu keretanya.

“Nak sambung ke permusuhan kita masa kita budak-budak, sayang benda tu dah berlaku berpuluh tahun sekarang kita dah dewasa tak kan nak bermusuh lagi kot, lagi pula ibu bapa kita suka kita berkahwin dan abang pun suka dengan Ani,”kata Nasir berterus terang.

“Macam mana Nasir...”belum sempatku bertanya Nasir dah potong perkatanku.

“Abanglah bukan Nasir, susah sangat ke nak panggil Abang, nanti mak bapa kita dengar mereka takut kita tak jadi kahwin takut pelaminan roboh sebab kita berperang. Sudah-sudahlah tu sayang, abang boleh terima sayang takkan sayang tak boleh terima abang,”katanya buatku terdiam.

“Kenapa abang terima Ani, Ani bukan cantik pun kerja pun hanya seorang guru,”tanyaku buat Nasir tersenyum.

“Sayang cantik apa, tengok parut di wajah sayang tu menambah kecantikan sayang macam tahi lalat, hem!!! Abang pilih sayang sebab abang dah banyak dikecewaka­n, duit abang pun banyak kena tipu, bila abang ingat sayang hati abang jadi gembira. Abang ingat bagai mana sayang gigit tangan abang, sayang baling abang dengan bantal. Masa tu kita belum tahu erti berkasih sayang, bila abang fikir lagi dan lagi sayang memang jodoh abang sebab abang tak bayar sogit cederakan sayang dan percaya kata nenek yang kita ni ada jodoh. Betul tak?”terangnya dengan panjang lebar buat aku terdiam tak tahu nak cakap apa.

“Abang dah lama suruh mak meminang sayang tapi Mak Ngah cakap sudah ada orang nak meminang sayang. Saat nama dia kan, tapi kata Mak Ngah lagi, sayang belum tahu, sayang tahu tak abang punya gelisah sampai nak balik kampung pujuk sayang tapi mak suruh abang berdoa banyakbany­ak agar sayang pilih abang. Alhamdulil­ah bila sayang cakap nak terima saja siapa pilihan Mak Ngah selain Saat, abang sungguh gembira abang pujuk Mak agar cepat meminang sayang, takut Sayang kena ambil orang lain,” katanya dan aku jadi serba salah nak percaya atau tidak. Aku meluruskan letak duduku lalu aku menoleh kearahnya untuk melihat keikhlasan­nya. Memang dia ikhlas dan hatiku mula berdebar melihatnya mungkin aku dah mula suka padanya. list

 ??  ?? Sekadar gambar hiasan
Sekadar gambar hiasan
 ??  ?? JUNAIDAH OMARALI berasal dari Kampung Imam Arsat Weston. Penulis dengan nama timangan Mak Ngah Weston bertugas sebagai Pembantu Tadbir di SK Lumadan.Bergiat dalam bidang penulisan sejak 1990 hingga sekarang.
JUNAIDAH OMARALI berasal dari Kampung Imam Arsat Weston. Penulis dengan nama timangan Mak Ngah Weston bertugas sebagai Pembantu Tadbir di SK Lumadan.Bergiat dalam bidang penulisan sejak 1990 hingga sekarang.
 ??  ?? Karya JUNAIDAH OMARALI
Karya JUNAIDAH OMARALI

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia