Utusan Borneo (Sabah)

Pelajar tukar pengakuan kepada tidak bersalah miliki bahan letupan

-

KOTA BHARU: Seorang pelajar lelaki tingkatan enam yang didakwa memiliki dua bahan letupan yang diubah suai (IED) di rumahnya di Kampung Merkang, Pasir Puteh Oktober lepas, menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, Rabu.

Pengakuan itu dibuat Muhammad Hafizi Mat Jusoh, 19, selepas pertuduhan disebut semula di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Sebelum ini, tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu ketika pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 5 Nov lepas.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di rumah itu pada 6.05 petang pada 10 Okt 2017 mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) yang memperuntu­kkan penjara maksimum 14 tahun dan enam sebatan.

Hakim Ahmad Bazli menetapkan 11 Jan 2018 untuk sebutan semula kes berkenaan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fadzlan Mohd Noor manakala tertuduh diwakili peguam Ariff Azami Hussein.

Sementara itu, tertuduh juga bersama dua rakannya iaitu seorang buruh, Ahmad Azmi Ahmad Rosli, 25, dan seorang bekas tentera Mahadi Ibrahim, 34, berhadapan tuduhan berkaitan pembabitan dalam aktiviti militan bagaimana pun tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh.

Pada 5 Nov lepas, Muhammad Hafizi, menghadapi empat tuduhan memberikan latihan militan, memapar dan memiliki gambar, video serta naskhah dan menghadiri latihan persediaan suatu perbuatan pengganas bermula dari 23 Sept hingga 10 Okt lepas.

Sementara itu, Ahmad Azmi dan Mahadi pula didakwa menerima latihan keganasan daripada Muhammad Hafizi dan turut memiliki gambar, video serta naskhah dan menghadiri latihan persediaan suatu perbuatan pengganas pada tempoh sama.

Bagi pertuduhan dihadapi ketiga-tiga mereka, masing-masing didakwa mengikut 130FA (a) 130JB(1)(b), 130FB(1)(a) dan 130FB(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara maksimum antara tujuh hingga 30 tahun atau denda atau boleh dilucut hak mana-mana item tersebut.

Kesemua tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin kerana kes berkenaan tertakluk di bawah Undang-undang Kesalahan Keselamata­n (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Hakim Ahmad Bazli menetapkan 11 Jan 2018 untuk sebutan semula bagi serahan laporan pakar berkaitan kes berkenaan. Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia