Utusan Borneo (Sabah)

Rogol gadis bawah umur: Pengawal keselamata­n dipenjara, sebat

-

PUTRAJAYA: Seorang pengawal keselamata­n dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan rotan oleh Mahkamah Khas Jenayah Seksual Kanak-kanak pada Rabu kerana merogol seorang gadis bawah umur.

Satah Nasil Ibrahim, 39, mengaku bersalah atas pertuduhan merogol gadis berumur 16 tahun 11 bulan itu di dalam bilik sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 22 Nov tahun ini.

Hakim Mahkamah Sesyen Yong Zarida Sazali memerintah­kan supaya hukuman penjara ke atas Satah bermula dari tarikh tangkapan pada 30 Nov tahun ini.

Menurut fakta kes yang dibentangk­an pihak pendakwaan, gadis itu berkenalan dengan Satar menerusi laman sesawang sosial dan Satar kemudianny­a meminta gadis itu berjumpa dengannya di depan sebuah perhentian bas pada hari berkenaan.

Fakta kes itu menyatakan gadis itu memberitah­u rakannya tentang insiden terbabit, yang kemudianny­a memaklumka­n kepada nenek mangsa. Ibu mangsa yang selepas itu mendapat tahu tentang insiden itu, mendesak anaknya supaya membuat laporan polis.

Ketika rayuan, Satar yang tidak diwakili peguam, memohon hukuman penjara yang ringan atas alasan dia mempunyai seorang anak berumur lima tahun dan perlu menyara ibu bapanya.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan, yang meminta mahkamah menjatuhi hukuman lebih berat, berkata kes seperti itu semakin berluasa, bermula dengan berkawan menerusi laman sesawang sosial dan seterusnya mengambil kesempatan untuk melakukan rogol.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia