Utusan Borneo (Sabah)

Pemuda Umno cadang jawatan presiden, timbalan presiden tidak dipertandi­ngkan

-

PERGERAKAN Pemuda Umno hari ini mencadangk­an supaya jawatan presiden dan timbalan presiden parti tidak perlu dipertandi­ngkan pada pemilihan parti akan datang.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata Pemuda Umno memberi sokongan sebulat hati kepada Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dan Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menjalanka­n tugas timbalan presiden, untuk terus mengemudi parti.

Ketika menyampaik­an ucapan dasar pada Perhimpuna­n Agung Pergerakan Pemuda Umno 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Khairy berkata keutamaan parti sekarang adalah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), bukan pemilihan parti.

“Biar kita ke medan perang dengan hati yang tenang, dengan fikiran yang lapang. Jangan terbeban dengan persoalan siapakah (pemimpin) yang perlu diundi nanti. Jadi, kita selesaikan persoalan besar hari ini, tak perlu lagi dibelenggu persoalan ini.

“Dengan ini, Pemuda nak cadangkan bila menang pilihan raya nanti, insyaAllah, jawatan presiden dan timbalan presiden tak perlu dipertandi­ngkan,” kata Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan.

“Buang persoalan itu jauhjauh, sekarang kita fokus bagi Barisan Nasional menang besar,” tegas beliau.

Khairy turut menekankan soal pentingya solidariti anggota Umno kepada parti mereka dengan memastikan tiada langsung wujud rekahan atau keretakan dalam parti.

Ketua Pemuda Umno itu juga menegaskan bahawa cabaran yang dibawa parti serpihan yang keluar daripada Umno tidak harus dipandang enteng.

“Walaupun kita yakin Umno lebih kuat, Umno lebih hebat, kita jangan lupa parti ‘Bunga’ ini akan tetap mencedok dari kolam penyokong yang sama,” katanya.

Selain itu, Khairy berkata sesiapa yang tidak terpilih menjadi calon PRU perlu terus bersama berjuang memastikan kemenangan parti.

“Jangan gadaikan maruah dan harga diri, jangan pentingkan agenda peribadi sampai Umno rebah tak mampuberdi­ri,”tambahnya.Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia