Utusan Borneo (Sabah)

Tolak nostalgia dongeng, harapan palsu: Khairy

-

KETUA Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mahu anak muda tidak terbuai dengan nostalgia dongeng bahawa Malaysia dahulu adalah lebih baik berbanding sekarang.

Khairy, yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata anak muda mungkin ‘terlalu muda’ untuk mengingat betapa tidak seimbangny­a pembanguna­n masa dahulu.

Tanpa menafikan Menara Kembar Petronas merupakan legasi bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, begitu juga Putrajaya dan Litar Antarabang­sa Sepang, Khairy bagaimanap­un berkata kebanyakan fokus kemajuan tersebut hanya di Lembah Klang sahaja.

“Takkan kita cetek sangat, semata-mata ada KLCC, ada Putrajaya, ada Litar Sepang, kita terus anggap semua rakyat dari Perlis ke Johor, Perak ke Sabah, hidup sama rata?” soalnya.

Berucap di hadapan 970 perwakilan pada Perhimpuna­n Pergerakan Pemuda Umno 2017 bersempena Perhimpuan Agung Umno 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada Rabu, Khairy berkata ketidaksam­arataan itu sedang diperbetul­kan kepimpinan hari ini.

Beliau memberikan contoh mengenai pembanguna­n dan kemajuan sama rata yang dilaksanak­an di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu seperti Lebuhraya Pan Borneo, Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) dan Keretapi Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) yang mana banyak kawasan menerima limpahan pembanguna­n daripada projek-projek berkenaan.

Beliau turut menyentuh mengenai kegagalan mega yang berlaku pada era kepimpinan Dr Mahathir seperti kerugian mata wang asing lebih RM31 bilion oleh Bank Negara dan kerugian RM10 bilion Perwaja Steel.

Khairy menegaskan dahulu dan kini adalah dua zaman yang berbeza.

Beliau menjelaska­n Malaysia pada ketika itu adalah antara sebahagian kecil negara yang mengamalka­n dasar ekonomi terbuka yang mana pelaburan luar melimpah masuk hingga merangsang pembanguna­n ekonomi yang pantas.

Namun hari ini, katanya negara seperti India, China dan Vietnam yang dahulunya mengamalka­n dasar tertutup, sudah terbuka luas pintunya dan ia memberikan lebih pilihan kepada para pelabur hingga menjadikan persaingan begitu sengit buat Malaysia.

Khairy dalam pada itu turut mengingatk­an pengundi muda bahawa jika nostalgia dongeng itu bahaya, yang lebih berbahaya adalah harapan palsu.-Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia