Utusan Borneo (Sabah)

Misteri kes pembunuhan seorang wanita hampir selesai

-

MIRI: Polis percaya telah dapat menyelesai­kan misteri kes pembunuhan seorang wanita Sabtu lepas dengan penahanan seorang lelaki tempatan pada 7.30 pagi Isnin lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak Datuk Dev Kumar berkata siasatan awal mendapati masalah hutang mungkin antara punca kematian mangsa susulan penangkapa­n suspek berusia 25 tahun itu, yang juga bekas teman lelaki mangsa.

“Mangsa telah dikenal pasti oleh anggota keluarga sebagai seorang janda berusia 52 tahun dan mempunyai tiga anak serta dikenali dengan nama Yeong Musa dari Mukah,” katanya dalam sidang media, di sini pada Rabu.

Suspek direman tujuh hari hingga 11 Dis depan, manakala bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian mangsa dilakukan pada 9 pagi ini di Hospital Miri.

Beliau berkata identiti mangsa diketahui setelah pasukan penyiasat berjaya mengesan satu laporan polis dibuat di Balai Polis Mukah pada 3 Dis yang melaporkan tentang mangsa telah keluar dari rumah di Mukah pada 27 Nov dan tidak pulang.

Dev berkata mayat mangsa dipercayai dibuang ke dalam sungai pada 30 Nov dan ketika ditemukan pada Sabtu lepas wajah mangsa mempunyai kesan kecederaan.

“Sebuah kereta Proton Iswara milik suspek telah dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Untuk rekod, mayat mangsa ditemukan terapung oleh seorang nelayan di Sungai Miri berdekatan dengan Kampung Pulau Melayu pada 6.30 pagi Sabtu lepas.

Ketika ditemukan mayat mangsa berpakaian lengkap, kepala dibungkus dengan guni yang diikat pada bahagian pinggang, tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, sudah berbau dan reput.Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia