Utusan Borneo (Sabah)

Shashi Kapoor Ikon skrin India meninggal dunia

-

IKON Bollywood Shashi Kapoor, salah satu bintang sinema India pada era 1970an dan ahli keluarga Kapoor yang popular dalam industri filem Hindi, meninggal dunia Isnin pada usia 79 tahun selepas lama sakit.

Menurut anak saudaranya Randhir Kapoor kepada agensi berita Press Trust of India (PTI), Shashi meninggal dunia di sebuah hospital di Mumbai pada petang Isnin. Seorang lagi ahli keluarga turut mengesahka­n kematian ikon itu.

“Ya, dia telah meninggal dunia. Dia menghidapi masalah buah pinggang selama beberapa tahun,” kata Randhir kepada PTI.

Shashi -- anak lelaki paling muda kepada Prithviraj Kapoor, perintis filem Hindi dan teater India, dilahirkan di bahagian timur bandar India, Kolkata pada tahun 1938.

Dia memulakan kerjaya pada usia yang muda, membantu ayahnya dalam syarikat teater dan muncul di pentas dalam produksi ‘Shakuntala’, sebuah kisah cinta klasik Hindu, ketika berusia enam tahun.

Kerjaya Bollywood Shashi juga bermula awal di mana dia berkembang menjadi idola ramai dengan rupanya yang kacak dan telah muncul dalam lebih 150 filem.

Lakonan pertamanya sebagai watak utama adalah dalam filem ‘Dharmputra’ pada tahun 1961, manakala wataknya yang masih diingati sehingga kini adalah dalam filem-filem seperti ‘Jab Jab Phool Khile’ (1965), ‘Kabhi Kabhie’ (1976), dan ‘Kalyug’ (1981).

Dia juga turut dipuja untuk peranannya di samping veteran Bollywood Amitabh Bachchan dalam filem hit ‘Deewaar’ (1975) di mana dia memberikan satu dialog paling popular dalam wayang Hindi -- ‘Mere paas maa hai’ (Saya mempunyai ibu).

Dia juga turut mempunyai hubungan yang baik dengan Amitabh Bachchan di skrin. Selain ‘Deewaar’, mereka juga pernah berlakon bersama dalam ‘Trishul’ (1978) dan ‘Suhaag’ (1979).

Walaupun tua lima tahun daripada Amitabh Bachchan, Shashi sering berlakon sebagai adik kerana rupanya yang tidak nampak tua.

Shashi adalah antara pelakon India pertama yang bekerja di luar India, dengan peranan dalam filem-filem Merchant Ivory seperti ‘The Householde­r’ (1963), ‘Heat and Dust’ (1983) dan ‘Shakespear­e Wallah’ (1965).

Pada tahun 1958, Shashi berkahwin dengan aktres Inggeris Jennifer Kendal di mana mereka dikurniaka­n dengan tiga orang cahaya mata.

Jennifer meninggal dunia pada tahun 1984 disebabkan kanser. Pada waktu itu, dia berusia hanya 51 tahun.

Ucapan takziah dari dunia sinema India serta ahli politik tidak putusputus sebaik sahaja berita mengenai kematian pelakon itu tersebar.

“Pakcik Shashi bukan sahaja bintang yang hebat dan pembikin filem yang bersemanga­t, tetapi juga seorang yang baik hati. Karyanya memang selalu memberi kegembiraa­n kepada audiens India,” tulis bintang terkemuka Bollywood Aamir Khan dalam satu kenyatan yang dimuat naik di Twitter.

Abang sulung Shashi, Raj Kapoor, yang meninggal dunia pada tahun 1988, juga seorang pelakon filem popular Hindi. Randhir adalah anak lelaki kepada Raj. — AFP

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia