Utusan Borneo (Sabah)

BN pilihan terbaik untuk rakyat Semporna: Pemuda Umno

-

BARISAN Nasional (BN) masih merupakan pilihan terbaik bagi rakyat Semporna kerana parti itu terbukti berkesan dan berjaya membawa kestabilan, keharmonia­n dan pembanguna­n di kawasan itu, kata Ketua Pemuda Umno Bahagian Semporna Ahmad Marzuki Nasir.

Sehubungan itu, beliau yakin momentum sokongan rakyat kepada parti itu masih kukuh dan utuh meskipun menghadapi pelbagai cabaran yang semakin getir sejak kebelakang­an ini.

Katanya walaupun berdepan dengan pelbagai isu yang sengaja ditimbulka­n, namun sokongan terhadap kepimpinan Umno dan BN masih kuat.

“Isu “Sabah for Sabahan” selalu diuar-uarkan untuk mempengaru­hi minda khususnya golongan muda sehingga mereka berada dalam dilema untuk memilih pemimpin yang sebenar.

“Oleh itu Pemuda Umno turun padang mendekati golongan ini memberi penjelasan supaya mereka melihat dengan mata dan hati yang terang,” katanya ketika ditemui Bernama sempena Perhimpuna­n Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Khamis.

Ahmad Marzuki turut memuji golongan muda di daerah itu kini semakin faham isu yang dicanangka­n oleh pihak pembangkan­g hanyalah ‘cakap kosong’ semata-mata tanpa bukti yang nyata.

Sebaliknya Umno dan Barisan Nasional telah membawa perubahan di daerah itu dan perlu dijadikan sebagai teladan agar legasi kepimpinan Umno terus diberi kepercayaa­n.

Katanya, kejayaan kepimpinan yang sedia ada bukan hanya retorik semata-mata tetapi turut terbukti malah di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman, Semporna tidak dilupakan dalam arus pembanguna­n.

Mengenai pemilihan calon muda dalam pilihan raya umum ke-14 dalam kalangan anggotanya, Ahmad Marzuki berkata Pemuda Umno tetap menyokong siapa saja yang dicalonkan.

“Kami tidak kisah, siapa pun calon, kami beri sokongan padu,” katanya. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia