Utusan Borneo (Sabah)

Mungkin kerana hutang

Teman lelaki ditahan dipercayai terlibat kes bunuh wanita dibungkus guni, dibuang ke sungai

-

MIRI: Polis tidak menolak kemungkina­n hutang merupakan motif utama dalam kes pembunuhan seorang wanita yang mayatnya dijumpai terapung di Sungai Miri berhampira­n Kampung Pulau Melayu di sini pada 2 Disember lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak SAC Datuk Dev Kumar ketika mengadakan sidang media di sini pagi Selasa memberitah­u, identiti mayat itu juga telah dikenal pasti.

“Berdasarka­n keadaan mayat yang menjurus kepada unsur jenayah, kes disiasat sebagai bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.” SAC DATUK DEV KUMAR Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak

Katanya, mangsa dikenali sebagai Yeong Musa, 52, berasal dari Mukah dan merupakan seorang ibu tunggal dengan empat anak.

Mayat mangsa disahkan oleh anak lelakinya berdasarka­n pakaian yang dipakai dan tanda lahir yang terdapat pada badan mangsa.

Menurut Dev, berdasarka­n keadaan mayat yang menjurus kepada unsur jenayah, kes disiasat sebagai bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Pasukan siasatan telah menyemak laporan polis orang hilang di daerah-daerah berdekatan termasuk memanggil ahli keluarga pelapor untut mengecam mayat.

“Pada 3 Disember, kita berjaya mengesan satu laporan polis yang dibuat di Balai Polis Mukah berhubung seorang wanita berketurun­an Melanau berusia 52 tahun yang keluar rumah sejak 27 November lalu dan tidak pulang ke rumah,” katanya.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superinten­den Stanley Jonathan Ringgit dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) Miri DSP Lee Swee Sake serta pegawai kanan polis lain.

Berikutan itu, katanya, ahli keluarga pelapor dipanggil untuk mengecam mayat dan pengecaman positif berdasarka­n baju yang dipakai oleh mangsa.

Sementara itu, menurut Dev, sekitar jam 7.30 pagi 4 Disember lalu di hadapan sebuah kedai di Pusat Komersil Pelita, polis berjaya menangkap seorang suspek berusia 25 tahun yang merupakan teman lelaki mangsa kerana dipercayai terlibat dalam kes itu.

Semasa tangkapan dibuat, katanya, polis turut merampas sebuah kereta milik suspek yang dipercayai tempat terakhir mangsa berada sebelum mayatnya dibuang ke sungai.

Selain itu, katanya, polis juga merampas sebuah kereta milik mangsa di kawasan Senadin yang sebelum ini diserahkan kepada suspek untuk dibaiki.

Hasil siasatan awal polis, katanya, mendapati mangsa datang ke Miri menaiki bas dari Mukah pada 27 November lalu untuk berjumpa suspek dengan hasrat mengambil keretanya dan pada masa sama, menuntut hutang daripada suspek.

“Justeru, kita tidak menolak kemungkina­n hutang merupakan motif utama suspek tergamak membunuh mangsa dan kita percaya pembunuhan dilakukan pada 30 November lalu.

“Mayat mangsa yang lengkap berpakaian dengan kepala dibungkus menggunaka­n guni serta diikat di bahagian pinggang dijumpai pada jam 6.30 pagi, 2 Disember lalu iaitu tiga hari selepas pembunuhan itu,” jelas beliau.

Katanya, apa yang menarik dalam kes ini ialah kepantasan pasukan penyiasat diketuai DSP Lee Swee Sake kerana berjaya memberkas suspek terlebih dahulu sebelum identiti mangsa dikenal pasti.

“Syabas saya ucapkan kepada anggota BSJD Miri atas kejayaan anda menyelesai­kan kes ini dalam tempoh masa yang singkat,” katanya.

Sementara itu, suspek yang bekerja sendiri kini direman selama tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan tempoh reman akan tamat pada 11 Disember ini.

 ??  ?? DEV (kanan) dan Stanley (dua kanan) menunjukka­n kereta milik suspek yang dirampas untuk dijadikan barang kes.
DEV (kanan) dan Stanley (dua kanan) menunjukka­n kereta milik suspek yang dirampas untuk dijadikan barang kes.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia