Utusan Borneo (Sabah)

Lima penumpang, pemandu bas ekspres cedera terlibat kemalangan

-

IPOH: Enam cedera apabila bas ekspres dua tingkat dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori treler di KM249.6 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan, dekat Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak, Kuala Kangsar awal pagi Khamis.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri kesemua yang cedera terdiri daripada lima penumpang bas tersebut serta pemandunya.

Katanya kejadian dipercayai berlaku apabila bas ekspres yang dalam perjalanan dari Kangar, Perlis ke Klang bersama 42 penumpang itu merempuh bahagian belakang sebuah lori treler yang diletakkan di bahu jalan susur keluar R&R itu.

Beliau berkata bomba menerima panggilan kira-kira 3.44 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar dengan bantuan balai Meru Raya bergegas ke tempat kejadian.-Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia