Utusan Borneo (Sabah)

Sebar berita palsu masalah global: Salleh

-

KUALA LUMPUR: Isu penyebaran berita palsu merupakan masalah yang dihadapi secara global ekoran revolusi teknologi komunikasi yang berkembang dengan pesat dan terlalu pantas, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata fenomena itu akan berterusan dan menjadi cabaran utama dalam usaha mengawal selia dan menguatkua­sakan undangunda­ng berkaitan penyebaran maklumat.

“Secara analogi, selagi dunia ini ada internet, isu ini akan berleluasa dan berterusan dan ia akan memberikan cabaran yang lebih hebat di masa akan datang dan semua pihak perlu bekerjasam­a untuk menghadapi­nya,” kata Salleh dalam jawapan bertulis di Dewan Negara, Isnin.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Seri Khairudin Samad yang meminta penjelasan bagaimanak­ah pihak kementeria­n memantau dan mencegah penyebaran berita palsu dalam media sosial oleh pihak-pihak yang tidak bertanggun­gjawab yang ia akan menyebabka­n kekeliruan kepada masyarakat.

Salleh berkata kementeria­n melalui Suruhanjay­a Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan yang berkaitan mengambil pendekatan berbilang serampang dalam menangani gejala penularan kandungan serta berita palsu di platform media sosial, laman sesawang dan internet amnya.

“Masyarakat harus menyedari bahawa dengan cabaran kemajuan teknologi antaranya Pengkomput­eran Awan dan Teknologi Inkripsi, tindakan penguatkua­saan bukanlah satu-satunya jalan penyelesai­an bagi menangani isu tersebut.

“Apa yang lebih utama adalah pendidikan dan kesedaran awal kepada pengguna dalam memastikan platform digital digunakan secara berhemah dan bijaksana,” katanya.

Sehubungan itu, Salleh berkata penekanan harus diberikan kepada aspek kawalan kendiri yang tinggi supaya semua pihak menyedari tanggungja­wab dan peranan masing-masing dalam menggunaka­n internet dan media sosial dengan bijaksana serta berhemah. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia