Utusan Borneo (Sabah)

Sokong Daesh: Hukuman kekal terhadap bekas pembantu tukang masak

-

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengekalka­n hukuman penjara enam tahun terhadap seorang bekas pembantu tukang masak kerana memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh dan memiliki gambar serta video berkaitan kumpulan itu, tahun lepas.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki membuat keputusan terhadap Rosmizam Che Din selepas menolak rayuan pihak pendakwaan selaku perayu terhadap hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi pada 12 Julai lepas.

Dua panel hakim iaitu Datuk Ahmadi Asnawi dan Datuk Kamardin Hashim yang turut bersidang pada Isnin mendapati rayuan pihak pendakwaan tidak mempunyai merit.

Keputusan sebulat suara itu juga mengekalka­n keputusan dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Sofian Abd Razak, iaitu penjara enam tahun atas tuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh dan penjara dua tahun kerana memiliki gambar serta video kumpulan berkenaan.

Bagaimanap­un, tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun kerana mahkamah memerintah­kan hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh tangkapan pada 15 Julai 2016.

Rosmizam selaku responden didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas itu melalui aplikasi telegram dalam kumpulan perbualan ‘Gagak Hitam’ atas nama ‘Zam Rosden Di’ dengan menggunaka­n nombor telefon miliknya di sebuah rumah di Jalan USJ 6/3B, Subang Jaya di sini pada pukul 12.33 tengah malam, 30 Mac 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksimum 30 tahun atau denda atau bolehlah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan bagi melakukan kesalahan itu.

Rosmizam juga dituduh memiliki item yang berkaitan dengan kumpulan pengganas iaitu 34 keping gambar dan dua video di dalam telefon bimbit miliknya diparkir aras LG, Pasaraya Da’Men, Persiaran Subang Permai, Subang Jaya di sini, pukul 1.30 tengah hari pada 15 Julai 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucuthak mana-mana item berkenaan.

Rosmizam yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon mahkamah mengekalka­n hukuman penjara terhadapny­a kerana dia telah insaf selain ingin memulakan hidup baharu selepas dibebaskan kelak.

Dia yang masih bujang serta tidak mempunyai rekod jenayah lampau dijangka dibebaskan pada 2020.

Pendakwaan dikendalik­an oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Azmi Mashud.Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia