Utusan Borneo (Sabah)

Lelaki didakwa ragut telefon pintar milik wanita

- - Oleh CLARICE USOP

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga asing didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas pertuduhan meragut telefon pintar milik seorang wanita.

Samit Roy, 23, yang didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan bagaimanap­un mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Ainul Mohamad Shahrin.

Tertuduh meragut telefon pintar jenis Vivo milik Elmilda Lingkid, 24, pada 30 November jam 8.30 malam di lorong pejalan kaki belakang bangunan perpustaka­an lama, Jalan Kota Kinabalu Bypass.

Hukuman yang diperuntuk­kan, penjara selama tempoh 14 tahun dan boleh dikenakan denda, atau dengan sebat jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan pada 15 Januari tahun hadapan untuk pengurusan kes, manakala tarikh perbicaraa­n pada 13 hingga 14 Mac tahun hadapan.

Sementara menunggu kes selesai, tiada jaminan diberikan kepada tertuduh yang tidak memiliki dokumen peribadi.

Terdahulu peguam Faraz win Haxdy meminta agar anak guamnya yang mempunyai penyakit tuberkulos­is (tibi) diberikan rawatan.

“Saya sudah maklumkan kepada pegawai penyiasat, tertuduh memerlukan rawatan harian,” katanya.

Dalam pada itu, Ainul memerintah­kan sekiranya situasi tertuduh memerlukan rawatan, tertuduh haruslah dirujuk ke hospital.

Samit terus direman mengikut Seksyen 259 Kaedah Tatacara Jenayah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia