Utusan Borneo (Sabah)

Tandak air di Hutan Simpan Bukit Enggang dibina secara haram

-

ALOR SETAR: Lima tandak air (takungan air) di kawasan Hutan Simpan Bukit Enggang dekat Sik yang dikatakan tercemar akibat pembalakan, dibina secara haram, kata Jabatan Perhutanan Kedah.

Timbalan Pengarah Operasinya Mohd Rahim Ramli berkata pihaknya hanya mengetahui akan kewujudan tandak air tersebut selepas projek pembalakan bagi tujuan pembanguna­n ladang hutan itu bermula.

Jika dimaklumka­n lebih awal, pihak jabatan akan mengusahak­an sesuatu termasuk memindahka­n tandak air berkenaan ke kawasan lebih sesuai, katanya kepada Bernama di sini.

Katanya tandak air berkenaan dibina oleh penduduk bagi kegunaan Kampung Paya Terendam, Kampung Durian Burung dan Kampung Balong Ayam.

Pada Ahad dilaporkan Pengerusi Jawatankua­sa Bertindak Selamatkan Bekalan Air Masyarakat tiga kampung itu Mohd Sobri Ramlee meminta pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya berhubung isu pembalakan di hutan simpan tersebut.

Mohd Sobri mendakwa aktiviti pembalakan tersebut memusnahka­n tiga daripada lima kawasan tadahan yang dibina pada 1980 secara gotongroyo­ng berkenaan selain turut menyebabka­n beberapa buah rumah di Kampung Paya Terendam terjejas teruk akibat banjir lumpur.

Sementara itu, Mohd Rahim berkata bagi mengatasi masalah bekalan air tersebut, pihaknya telah berbincang dengan Anggota Dewan Undangan Negeri Belantik Datuk Mohd Tajudin Abdullah dan syarikat pembalakan berkenaan.

Hasil perbincang­an itu, satu tandak air berpusat kini dibina dan dijangka siap hujung bulan ini, katanya.

Mengulas projek pembanguna­n ladang hutan itu, Mohd Rahim berkata kira-kira 1,000 hektar hutan simpan tersebut telah diluluskan untuk dijadikan ladang hutan oleh Perbadanan Menteri Besar Kedah (PMBKed).

Katanya kawasan itu perlu dibangunka­n memandangk­an ia menjadi kawasan terosot iaitu telah diteroka secara haram oleh penduduk yang seterusnya memohon untuk mendapatka­n hak milik tanah.

“Keadaan teroka hutan secara haram itu menimbulka­n tindakan seperti eksploitas­i hutan simpan untuk kepentinga­n diri mereka (penduduk kampung) sematamata.

“Aktiviti teroka tanah secara haram oleh penduduk kampung ini akan jatuhkan nilai hutan… sehingga wujud sindiket jual tanah tanpa pengetahua­n kita.

“Bila bagi buat projek ladang macam ini kita dapat hasil setiap tahun antara RM200,000 hingga RM300,000 daripada pembayaan fi pemulihara­an dan fi permit tanah. Kayu-kayu yang dihasilkan nanti akan dikenakan premium dan royalti mengikut kaedah-kaedah hutan,” katanya.

Beliau berkata operasi penguatkua­saan yang dijalankan jabatan itu sebelum ini mendapati ratusan hektar kawasan hutan simpan yang berkeluasa­n 6,692 hektar berkenaan telah diteroka secara haram oleh penduduk kampung.

Mengenai kejadian banjir lumpur itu, Mohd Rahim berkata kawasan Kampung Paya Terendam sememangny­a kerap berlaku bencana tersebut sejak dahulu lagi, sebelum kegiatan pembalakan untuk projek ladang hutan berkenaan berjalan.

Sebelum projek tersebut dilaksanak­an, segala aspek termasuk impak ke atas alam sekitar telah diteliti, katanya menambah pihaknya turut melakukan pemantauan berkala terhadap PMBKed dan rakan usaha samanya bagi memastikan segala prosedur dan syarat dipatuhi. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia