Utusan Borneo (Sabah)

Bilangan warga emas di negara ini sentiasa meningkat, kata Rohani

-

SEBUYAU: Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2000 yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan mendapati terdapat seramai 1.4 juta orang warga emas yang berumur 60 tahun dan ke atas atau 6.1 peratus daripada jumlah keseluruha­n penduduk iaitu 23.5 juta orang.

Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia terkini yang dijalankan pada 2010 pula menunjukka­n bahawa warga emas merupakan 2.3 juta orang atau 7.9 peratus daripada jumlah keseluruha­n penduduk iaitu 28.3 juta orang, kata Menteri Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Menurutnya, bagi Sarawak, peratusan penduduk warga emas adalah antara yang tertinggi, iaitu 9.5 peratus berbanding negeri-negeri lain.

“Bilangan penduduk warga emas di negeri Sarawak adalah seramai 247,600 orang berdasarka­n bancian penduduk daripada Jabatan Perangkaan Malaysia Sarawak bagi tahun 2014,” ujarnya ketika berucap semasa merasmikan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sebuyau bagi kawasan Parlimen Batang Lupar di Sebuyau dekat sini.

Sementara itu, beliau berkata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengunjurk­an bahawa Malaysia akan menjadi sebuah negara tua (aged nation) pada 2030 apabila penduduk berumur 60 tahun dan ke atas akan mencapai 15 peratus daripada jumlah keseluruha­n penduduk.

“Pada ketika itu, penduduk negara akan mencapai 35.3 juta orang, yang mana 5.3 juta orang merupakan warga emas. Justeru, Malaysia akan menjadi sebuah negara menua (ageing nation) menjelang Rancangan Malaysia Ke-14,” katanya.

Sehubungan itu, Malaysia perlu bersiap sedia mulai sekarang untuk menghadapi fenomena penuaan penduduk di negara ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia