Utusan Borneo (Sabah)

City buru kemenangan bersejarah di Stadium Liberty

-

LONDON, England: Manchester City akan memburu sejarah apabila pendahulu Liga Perdana Inggeris itu menentang Swansea City Rabu ini dengan pencabar lain terdesak untuk mengejar mereka.

Skuad kendalian Pep Guardiola memiliki kelebihan 11 mata dari pencabar terdekat, Manchester United selepas menang 2-1 di Old Trafford pada perlawanan Ahad lepas.

Gol kemenangan Nicolas Otamendi memastikan City menyamai rekod 14 kemenangan liga berturut-turut yang dicipta Arsenal.

City boleh mencipta rekod baharu dengan menewaskan Swansea di Stadium Liberty.

Tetapi Guardiola tidak mahu anak buahnya mendabik dada dengan baki 22 perlawanan masih perlu diharungi, terutama sekali dengan Swansea bersaing untuk mengelak penyingkir­an musim ini.

“Mereka lebih bermain dengan bersungguh-sungguh berbanding kami kerana mereka tidak mempunyai sebarang pilihan,” kata Guardiola.

“Pada bulan Disember, ia mustahil untuk menjadi juara liga tetapi jurang mata kami agak meyakinkan.”

United akan cuba bangkit selepas kekalahan pertama mereka di Old Trafford selepas 41 perlawanan apabila menanti kunjungan Bournemout­h.

Jika United kelihatan agak jauh dari City, juara bertahan, Chelsea pula lebih membimbang­kan.

Chelsea kini ketinggala­n 14 mata di belakang City selepas dikejutkan 1-0 di West Ham United sementara Liverpool, di tangga keempat, kini kurang 16 mata selepas seri 1-1 dengan Everton.

Pengurus Chelsea, Antonio Conte mendakwa pasukannya tidak lagi berpeluang mempertaha­nkan kejuaraan selepas tewas kepada West Ham dan kapten pasukan, Gary Cahill mengakui mereka harus bangkit pada perlawanan di Huddersfie­ld hari ini.

“Saya fikir kami tidak lagi bersaing (kejuaraan liga). Ia mengecewak­an,” kata beliau. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia