Utusan Borneo (Sabah)

KDNK sebenar Malaysia berkembang 5.5% pada 2018

-

KUALA LUMPUR: Pertumbuha­n Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka kekal kukuh pada 5.5 peratus pada 2018, didorong oleh pemberian tunai sekali sahaja kepada kakitangan awam menjelang pilihan raya umum dan projek kereta api utama seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), menurut UBS Investment Bank.

“Kami menjangka aktiviti berkaitan pembinaan ECRL, dijadual bermula pada awal 2018, akan menambah 0.30.5 mata peratusan kepada pertumbuha­n KDNK. Kami menjangka peningkata­n yang sama daripada projek Kereta Api Berkelajua­n Tinggi pada 2019,” kata Ahli Ekonomi Alice Fulwood baru-baru ini.

Beliau berkata, aliran masuk pelaburan yang kukuh ke Malaysia, didorong oleh dasar Satu Jalur Satu Laluan China dan keutamaan yang relatif kepada pelaburan korporat Amerika dan China, akan turut memberi sumbangan yang besar kepada unjuran pertumbuha­n yang meningkat.

Bagi tahun ini, Fulwood berkata KDNK dijangka berkembang enam peratus dalam keadaan kadar inflasi rendah.

Beliau menjangka inflasi susut kepada 3.4 peratus pada 2018 berbanding 3.9 peratus tahun ini, berikutan kenaikan harga minyak pada awal 2017.

“Kami berpendapa­t Bank Negara Malaysia akan menaikkan kadar sebanyak 25 mata asas dua kali pada 2018, pertama pada Januari dan kali kedua pada separuh kedua tahun tersebut,” katanya.

Fulwood berkata unjuran ekonomi domestik yang kukuh dan unjuran dasar monetari yang memihak kepada kadar faedah tinggi akan menyokong pengukuhan ringgit tahun depan, menjangka unit tempatan diniagakan pada 4.10 pada akhir 2017 dan mengukuh kepada 3.90 berbanding dolar AS pada 2018.

Mengenai Pilihan Raya Umum Ke-14, beliau berkata risiko terhadap pelaburan yang dinamik agak rendah berikutan kebanyakan pelabur asing menjangkak­an kesinambun­gan dasar. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia