Utusan Borneo (Sabah)

Menyimpan keluaran larangan, seorang wanita dan lelaki didenda

-

KOTA KINABALU: Seorang lelaki dan wanita dikenakan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, atas kesalahan menyimpan hasil keluaran larangan.

Nuraisa Abdul Rahman, 34, dan Said Maskan, 54, dikenakan hukuman itu oleh Majistret Herlina Muse, yang tidak diwakili peguam selepas mengaku bersalah.

Jika gagal membayar denda berkenaan, kedua-dua tertuduh diperintah­kan dikenakan penjara selama tempoh 30 hari.

Mereka didapati menyimpan 12 kotak krim jenama Special UV Whitening, 10 kotak krim jenama BL, 10 buku sabun UV Whitening, 12 biji ubat Benzylpeni­cillin Potassium.

Kesalahan dilakukan pada 8 November jam 11.45 pagi di Kedai Runcit Abang, Kampung Tanjung Aru Baru, di sini.

Nilai keseluruha­n barangan larangan terbabit berjumlah RM169.50, yang mana ubat-ubatan berkenaan belum lulus kastam mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dihukum mengikut Seksyen 135 (1) (iii)(aa) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Berdasarka­n fakta kes, pada hari sama sepasukan anggota kastam bahagian penguatkua­saan membuat serbuan di premis berkenaan.

Selepas diperiksa, mereka berjaya menemukan sejumlah ubat pelbagai jenis disyaki belum lulus kastam.

Semua barangan terbabit dirampas dan dibawa ke pejabat penguatkua­saan di sini untuk tindakan selanjutny­a.

Semasa rayuan, Nuraisa meminta hukumannya diringanka­n kerana mempunyai anak dan menambah, tidak mengetahui jika menjual keluaran terbabit salah.

Manakala Said berkata tidak mengetahui sekiranya ubat-ubatan dan produk yang lain tidak boleh dijual kerana tidak mempunyai pendidikan.

Pegawai Pendakwa Job Jau Bilong dari Jabatan Kastam memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia